SOALAN: Saya ingin bertanyakan pandangan ustaz tentang penyataan daripada JAKIM yang mendakwa bahawa fahaman Wahhabi tidak sesat tetapi tidak sesuai diamalkan di Malaysia.
JAWAPAN:
Penyataan bahawa fahaman Wahhabi tidak sesat itu benar. Maka, telah tersilaplah mereka yang mendakwa bahawa fahaman Wahhabi ini sesat.
Adapun tentang penyataan bahawa fahaman Wahhabi tidak sesuai diamalkan di Malaysia, di sini timbul persoalan iaitu jika apa yang mereka amalkan itu selari dengan sunnah Nabi s.a.w. (kerana mereka tidak sesat), kenapa pula ia tidak sesuai untuk diamalkan di Malaysia?
Bukan itu sahaja, malah jika diperhalusi, kita akan dapati bahawa banyak pandangan dan amalan mereka yang lebih menepati petunjuk sunnah Nabi s.a.w. berbanding apa yang biasa diamalkan oleh kebanyakan umat Islam di Malaysia.
Contohnya, golongan yang dilabel Wahhabi itu tidak melaungkan sebarang bait zikir atau selawat khusus antara Solat Tarawih. Meskipun ianya bercanggah dengan amalan kebanyakan umat Islam di Malaysia, tetapi pendirian mereka itu selari dengan petunjuk sunnah Nabi s.a.w., para sahabat dan Salafu Soleh yang juga tidak pernah mengkhususkan sebarang bait zikir atau selawat tertentu antara Solat Tarawih, jauh sekali untuk melafazkannya dengan suara yang kuat.
Demikian juga mereka yang dilabel Wahhabi tidak mengadakan kenduri arwah yang juga tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w., para sahabat dan Salafu Soleh, baik pada malam pertama, mahupun pada malam-malam berikutnya, sebagaimana yang biasa diamalkan oleh kebanyakan umat Islam di negara kita.
Hanyasanya kita harus mengakui bahawa golongan ini tidak sempurna. Mereka juga mempunyai kelemahan dan ada juga pendapat mereka yang tidak selari dengan pendirian kita, sama halnya dengan kelompok lain dalam kalangan umat Islam.
Cuma apa yang mengecewakan kita adalah apabila adanya pihak tertentu yang seolah-olah mahu meletakkan segala kesalahan kepada golongan yang dilabel sebagai Wahhabi ini, hatta dalam masalah ikhtilaf yang mu’tabar.
Antaranya, ada yang mengaitkan perbuatan imam yang tidak melafazkan basmalah secara jahr ketika solat, atau tidak berqunut dalam Solat Subuh sebagai Wahhabi. Walhal itu adalah pandangan majoriti ulama, selain Mazhab Syafi’i.
Kesannya, ia bukan sahaja menzahirkan kejahilan orang yang membuat tuduhan palsu, tetapi ia juga boleh menimbulkan keraguan dalam kalangan masyarakat awam sehingga ada yang tidak mahu bersolat di belakang imam Masjid al-Haram dan Masjid an-Nabawi atas alasan mereka adalah Wahhabi yang sesat.
Maka, ramailah yang terlepas kelebihan solat berjama’ah di dalam dua buah masjid suci itu.
Oleh yang demikian, tidak sepatutnya kita menyebut larangan mengamalkan fahaman Wahhabi secara mutlaq tanpa memberikan perincian. Sebaliknya, kita perlu menilai dengan adil dan saksama iaitu jika apa yang telah biasa kita amalkan itu selari dengan sunnah, maka hendaklah kita
mempertahankannya.
Tetapi, jika apa yang menjadi kebiasaan masyarakat itu bertentangan dengan sunnah, kebiasaan itu yang sepatutnya ditinggalkan dan digantikan dengan apa yang selari dengan petunjuk sunnah baginda, tanpa perlu mengaitkannya dengan fahaman Wahhabi.
Wallahu a’lam.