SOALAN: Benarkah dakwaan Ibn Bathuthoh terhadap al-Imam Ibn Taimiyyah yang kononnya beliau berfahaman tajsim?
JAWAPAN:
Sebenarnya, tidak ada seorang pun ‘ulamak Ahlus Sunnahwal Jama’ah yang berfahaman tajsim, baik yang mengikut aliran Salaf, mahupun Khalaf.
Adapun apa yang ditulis oleh Ibn Bathuthoh di dalam Rihlahnya yang bermaksud:
“Ketika aku berada di Damsyik, aku menghadiri majlis ilmu Ibn Taimiyyah pada hari Jumaat. Ketika itu beliau sedang menasihati dan mengingatkan orang ramai di atas mimbar Masjid Dimasyq. Antara ucapannya, ‘Sesungguhnya Allah turun ke langit dunia seperti aku turun ini,’ dan dia pun turun satu tangga demi satu tangga mimbar,”
ia adalah tuduhan yang tidak benar atas beberapa hujah:
1. Ibn Bathuthoh tiba di Dimasyq pada Hari Khamis, 19 Ramadhan, tahun ke-726H, sedangkan al-Imam Ibn Taimiyyah telah dipenjarakan pada awal Bulan Sya’ban tahun yang sama, sehinggalah beliau meninggal dunia pada malam Isnin, 20 Zul Qaedah, tahun ke-728H. Maka, Ibn Bathuthoh tidak berpeluang sama sekali melihat beliau berkhutbah di Masjid Dimasyq.
2. Murid-murid kanan al-Imam Ibn Taimiyyah seperti al-Imam az-Zahabi menceritakan bahawa guru mereka itu tidak pernah berkhutbah di atas minbar Masjid Dimasq. Sebaliknya, beliau hanya memberikan kuliah pengajiannya di atas kerusi sahaja.
3. Banyak tulisan al-Imam Ibn Taimiyyah yang menunjukkan bahawa beliau tidak pernah menganut fahaman tajsim, sebagaimana ucapan beliau yang dipetik oleh Ibn Nasir ad-Din asy-Syafi’i di dalam ar-Rad al-Wafir, “Aqidah yang menjadi pegangan Mazhab Salaf, para imam yang empat dan selain mereka ialah mengitsbatkan (menetapkan sifat Allah) tanpa tasybih (menyerupakan-Nya dengan sesuatu), mensucikan-Nya tanpa ta’til (menghilangkan fungsi sifat Allah). Tidak boleh bagi seseorang meletakkan sesuatu pegangan atau `ibarah (huraian) daripada dirinya sendirinya. Bahkan dia hendaklah mengikut dalil, bukan membuat bid`ah.”
Jadi, tidaklah benar dakwaan bahawa kononny al-Imam Ibn Taimiyyah menganut fahaman tajsim sebagaimana yang tercatat di dalam Rihlah Ibn Bathuthoh.
Dan haruslah diketahui bahawa Rihlah Ibn Bathuthoh bukanlah sebuah Kitab Rijal, sehingga kita boleh menjadikannya sebagai bahan rujukan untuk menentukan kedudukan ilmu seseorang, apatah lagi menghukumnya. Sebaliknya, tujuan sebenar kitab tersebut hanyalah untuk mencatatkan pengembaraan beliau ke seluruh pelusuk dunia. Tidak lebih daripada itu.
Maka, adalah lebih baik dan adil untuk kita menilai seseorang tokoh daripada karya-karyanya sendiri.
Wallahu a’lam.