SOALAN: Mohon penjelasan terhadap maksud tasbih berikut, kenapa pahalanya sangat besar dan bilakah waktu yang sesuai untuk mengamalkannya?
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
JAWAPAN:
Maksud tasbih di atas ialah, “Maha Suci Allah dan dengan pujian terhadap-Nya sebanyak mana bilangan makhluk ciptaan-Nya, sesuai dengan keredhaan-Nya, seberat ‘Arasy-Nya dan sebanyak dakwat untuk menulis firman-Nya.”
Tasbih ini mempunyai pahala yang sangat besar kerana maksudnya yang sangat agung sebagaimana yang diterjemahkan di atas.
TAMBAHAN PENULIS
Tentang waktu membaca tasbih ini, di sana terdapat tiga pendapat:
1. Menurut al-Imam an-Nawawi, tasbih ini sunat dibaca selepas Solat Subuh. Maka, ia termasuk dalam zikir pagi. Beliau berhujahkan zahir hadis riwayat al-Imam Muslim dengan sanadnya daripada Juwairiyah, katanya:
أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم خَرَجَ مِنْ عِنْدِهَا بُكْرَةً حِينَ صَلَّى الصُّبْحَ وَهِيَ فِي مَسْجِدِهَا ثُمَّ رَجَعَ بَعْدَ أَنْ أَضْحَى وَهِيَ جَالِسَةٌ فَقَالَ مَا زِلْتِ عَلَى الْحَالِ الَّتِي فَارَقْتُكِ عَلَيْهَا . قَالَتْ نَعَمْ . قَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم لَقَدْ قُلْتُ بَعْدَكِ أَرْبَعَ كَلِمَاتٍ ثَلاَثَ مَرَّاتٍ لَوْ وُزِنَتْ بِمَا قُلْتِ مُنْذُ الْيَوْمِ لَوَزَنَتْهُنَّ سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
Maksudnya: Bahawasanya Nabi s.a.w. keluar dari rumah Juwairiyah pada pagi hari usai menunaikan Solat Subuh, sedang beliau (Juwairiyah) berada di tempat solatnya. Kemudian, baginda pulang selepas waktu Dhuha, sedang beliau (Juwairiyah) masih duduk (di tempat solatnya tadi).
Maka, baginda pun bertanya, “Engkau masih berada disitu sejak aku tinggalkan engkau tadi?” Beliau (Juwairiyah) menjawab, “Ya.”
Nabi s.a.w. pun bersabda, “Aku telah menyebut empat kalimat yang diulangi sebanyak tiga kali selepas aku tinggalkan engkau tadi (yang mana) kalau ditimbang dengan apa yang engkau ucapkan sejak awal hari tadi, nescaya ucapanku itu lebih berat (pahalanya) daripada segala apa yang engkau ucapkan (iaitu tasbih):
سُبْحَانَ اللَّهِ وَبِحَمْدِهِ عَدَدَ خَلْقِهِ وَرِضَا نَفْسِهِ وَزِنَةَ عَرْشِهِ وَمِدَادَ كَلِمَاتِهِ
2. Al-Imam al-Baihaqi pula berpendapat bahawa tasbih ini sunat dibaca selepas setiap solat fardhu sebagaimana diriwayatkan dalam hadis di atas bahawa Nabi s.a.w. membacanya selepas Solat Fardhu Subuh.
3. Al-Imam Ibn Khuzaimah, al-Imam Ibn Hibban dan satu lagi pendapat daripada al-Imam al-Baihaqi berpendapat bahawa tasbih ini bersifat mutlaq. Maka, ia boleh dibaca pada bila-bila masa kerana tidak sabit daripada sebarang hadis yang secara khususnya menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. menetapkan bacaannya pada waktu tertentu sahaja. Inilah juga pendapat yang dirajihkan oleh asy-Syaikh ‘Abdullah bin Baz.