SOALAN: Sejauh manakah tahap keseriusan kesalahan yang dilakukan oleh Khalid bin al-Walid sehingga Rasulullah s.a.w. berlepas diri daripadanya?
JAWAPAN:
Khalid bin al-Walid pernah melakukan kesilapan membunuh tawanan perang yang disangkakannya sebagai berpura-pura Muslim, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dengan sanadnya daripada ‘Abdullah bin ‘Umar r.a.huma., katanya:
بَعَثَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم خَالِدَ بْنَ الْوَلِيدِ إِلَى بَنِي جَذِيمَةَ، فَدَعَاهُمْ إِلَى الإِسْلاَمِ فَلَمْ يُحْسِنُوا أَنْ يَقُولُوا أَسْلَمْنَا. فَجَعَلُوا يَقُولُونَ صَبَأْنَا، صَبَأْنَا. فَجَعَلَ خَالِدٌ يَقْتُلُ مِنْهُمْ وَيَأْسِرُ، وَدَفَعَ إِلَى كُلِّ رَجُلٍ مِنَّا أَسِيرَهُ، حَتَّى إِذَا كَانَ يَوْمٌ أَمَرَ خَالِدٌ أَنْ يَقْتُلَ كُلُّ رَجُلٍ مِنَّا أَسِيرَهُ فَقُلْتُ وَاللَّهِ لاَ أَقْتُلُ أَسِيرِي، وَلاَ يَقْتُلُ رَجُلٌ مِنْ أَصْحَابِي أَسِيرَهُ، حَتَّى قَدِمْنَا عَلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم فَذَكَرْنَاهُ، فَرَفَعَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَدَهُ فَقَالَ "اللَّهُمَّ إِنِّي أَبْرَأُ إِلَيْكَ مِمَّا صَنَعَ خَالِدٌ". مَرَّتَيْنِ.
Maksudnya:
Nabi s.a.w. telah mengutuskan Khalid bin al-Walid kepada Bani Khuzaimah. Lalu, beliau menyeru mereka kepada Islam, tetapi mereka tidak tahu menyatakan keIslaman mereka dengan berkata, “Aslamna” (yang bermaksud, “Kami telah memeluk Islam.”)
Sebaliknya, mereka berkata, “Soba’na, soba’na,” (ungkapan Jahiliah yang membawa maksud, “Kami telah keluar dari satu agama dan memeluk agama lain"). Maka, Khalid pun membunuh sebahagian daripada mereka dan menahan sebahagian lain dengan memberikan seorang tawanan kepada setiap seorang daripada kami.
Sehinggalah pada suatu hari, Khalid memerintahkan setiap seorang daripada kami supaya membunuh tawanan masing-masing. Lantas aku berkata, “Demi Allah, aku tidak akan membunuh tawananku dan tidak ada seorang pun sahabatku yang akan membunuh tawanannya sehinggalah kita bawakan perkara ini kepada Nabi s.a.w. dan mengadukannya kepada baginda terlebih dahulu."
Maka (setelah diadukan perkara ini kepada baginda), Nabi s.a.w. pun mengangkat tangannya seraya bersabda, “Ya Allah ya Tuhan kami, sesungguhnya aku berlepas diri kepada-Mu daripada apa yang telah dilakukan oleh Khalid,” sebanyak dua kali.
Selain itu, beliau juga ada melakukan beberapa kesilapan lain, yang mana semua ini adalah lumrah, lebih-lebih lagi dalam peperangan yang mana situasinya berbeza dengan keadaan biasa, kerana dalam peperangan, ada musuh yang berpura-pura, ada yang degil, ada bersikap begis, ada yang biadab dan lain-lain lagi.
Situasi inilah yang menyebabkan Khalid terkeliru dan tersalah faham terhadap orang yang dibunuhnya, sehingga tindakannya itu mengundang kritikan ramai. Meskipun demikian, Nabi s.a.w. masih tetap mengekalkan jawatan Panglima Perang yang disandangkannya kepada Khalid, kerana jasa dan sumbangan yang diberikannya jauh lebih besar daripada kesalahan yang dilakukannya.
Hal ini menjadi pengajaran kepada kita supaya tidak bermudah-mudah menghukum dan memecat orang bawahan kita yang melakukan sesuatu kesalahan, tanpa membandingkannya dengan lebih banyak kebaikan yang mampu diabawa.
Tetapi, pada masa yang sama, kita tetap perlu mengakui kesilapan yang dilakukan oleh orang bawahan kita, biar pun dia dilantik sendiri oleh kita. Kerana itulah Nabi s.a.w. bersabda bahawa baginda berlepas diri daripada apa yang telah dilakukan oleh Khalid bin al-Walid sebagai isyarat bahawa ia bukanlah perintah baginda.
Adapun mereka yang dibunuh oleh Khalid bin al-Walid kerana kesilapan ijtihadnya, waris mereka dibayar “Diyah” (ganti rugi) sebagaimana yang diperintahkan oleh Allah melalui firman-Nya:
وَمَا كَانَ لِمُؤۡمِنٍ أَن یَقۡتُلَ مُؤۡمِنًا إِلَّا خَطَـࣰٔاۚ وَمَن قَتَلَ مُؤۡمِنًا خَطَـࣰٔا فَتَحۡرِیرُ رَقَبَةࣲ مُّؤۡمِنَةࣲ وَدِیَةࣱ مُّسَلَّمَةٌ إِلَىٰۤ أَهۡلِهِۦۤ إِلَّاۤ أَن یَصَّدَّقُوا۟ۚ
Maksudnya:
Dan tidak harus sama sekali bagi seseorang mukmin membunuh seorang mukmin yang lain, kecuali dengan tidak sengaja. Dan sesiapa yang membunuh seorang mukmin dengan tidak sengaja, maka (wajiblah ia membayar kaffarah) dengan memerdekakan seorang hamba yang beriman serta membayar “Diyah” (denda ganti nyawa) yang diserahkan kepadaahlinya (keluarga si mati), kecuali jika mereka menyedekahkannya (memaafkannya).
[Surah an-Nisâ' (4) : 92]
Demikianlah pentadbiran ini berjalan kerana manusia tidak maksum dan tidak akan akan terlepas daripada melakukan kesilapan. Perbuatan seorang pemimpin yang memaafkan kesalahan orang bawahannya juga boleh menjadi pendorong untuk dia memperbaiki dirinya pada masa depan.
Wallahu a’lam.