SOALAN: Adakah pemakaian rida’ dan jubah itu sunnah?
JAWAPAN:
Sunnah terbahagi kepada dua kategori iaitu Sunnah Tasyri’iyyah (yang disyari’atkan) dan Sunnah Ghair Tasyri’iyyah (tidak disyari’atkan).
Untuk mengetahui sama ada sesuatu amalan itu termasuk dalam kategori Sunnah Tasyri’iyyah atau Ghair Tasyri’iyyah, kita boleh melihat pada amalan orang-orang kafir, iaitu adakah orang-orang kafir juga turut melakukannya?
Misalnya, orang kafir pada zaman Nabi s.a.w. dahulu juga memakan roti, sebagaimana Nabi s.a.w. sendiri memakan roti. Maka, memakan roti bukanlah Sunnah Tasyri’iyyah. Sebaliknya, ia hanyalah Sunnah Ghair Tasyri’iyyah.
Demikianlah juga halnya dengan pemakaian jubah dan rida’. Kedua-dua pakaian tersebut adalah pakaian Bangsa Arab yang bukan sahaja dipakai oleh Nabi s.a.w., malah ia turut dipakai oleh orang-orang kafir.
Maka, semata-mata pemakaian rida’ dan jubah hanyalah Sunnah Ghair Tasyri’iyyah.
Namun begitu, ada juga amalan yang turut dilakukan oleh orang-orang kafir, tetapi Nabi s.a.w. menetapkan kaifiat tertentu pada amalan tersebut yang mana kaifiat tersebut termasuk dalam Sunnah Tasyri’iyyah.
Misalnya, orang-orang kafir juga menggosok gigi. Bezanya, Nabi s.a.w. mengkhususkan amalan menggosok gigi untuk bersolat dan baginda memulakannya dengan sebelah kanan.
Demikianlah juga halnya dengan makan; Nabi s.a.w. mengajar kita supaya membaca basmalah sebelum menjamah makanan dan makan menggunakan tangan kanan.
Maka, semua kaifiat khusus yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. ini termasuk dalam Sunnah Tasyri’iyyah.
Wallahu a’lam.