SOALAN: Apakah status zikir-zikir yang terkandung di dalam al-Ma’tsurat himpunan Hasan al-Banna? Bolehkah zikir-zikir ini dibaca secara berjama’ah?
JAWAPAN:
Zikir mempunyai makna yang luas, sehingga solat pun termasuk dalam pengertian zikir, sebagaimana firman-Nya:
وَأَقِمِ الصَّلَاةَ لِذِكْرِي
Maksudnya:
“Dan dirikanlah solat untuk mengingati-Ku.”
[Surah Thoha (20) : 14]
Demikianlah juga halnya dengan membaca al-Quran yang juga termasuk dalam pengertian zikir, kerana dengan membaca al-Quran, kita akan mengingati Allah.
Jadi, secara umumnya, zikir-zikir boleh dibaca secara bersendirian mahupun secara berjama’ah, sama seperti solat dan bacaan al-Quran.
Tetapi, sebaik-baiknya kita melihat kepada petunjuk sunnah Nabi s.a.w. Maka, apa yang diamalkan oleh baginda secara bersendirian, kita mengamalkannya secara bersendirian dan apa yang diamalkan oleh baginda secara berjama’ah, kita pun mengamalkannya secara berjama’ah.
Adapun zikir-zikir yang dihimpunkan oleh Hasan al-Banna di dalam al-Ma’tsurat, ia boleh diamalkan, sama ada bersendirian atau berjama’ah, lebih-lebih lagi bagi tujuan mengajar dan membiasakan anak-anak muda dengan zikir.
Wallahu a’lam.