SOALAN: Apakah status hadis berikut?
مَا مِنْ مُسْلِمٍ يَمُوتُ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَوْلَيْلَةَ الْجُمُعَةِ إِلاَّ وَقَاهُ اللَّهُ فِتْنَةَ الْقَبْرِ
Maksudnya:
“Tidaklah seorang Muslim itu meninggal dunia pada hari Juma’at atau pada malam Juma’at melainkan Allah pasti akan melindunginya daripada fitnah kubur (ujian di alam barzakh).”
Katanya, asy-Syaikh al-Albani menilai hadis ini sebagai Hasan.
JAWAPAN:
Hadis ini tidak sahih meskipun ia diriwayatkan di dalam Jami’ at-Tirmizi. Maka, hadis ini tidak boleh dijadikan pegangan.
Sebaliknya, al-Imam al-Bukhari sendiri berpendapat bahawa hari kematian yang terbaik adalah Hari Isnin, sebagaimana Nabi s.a.w. wafat pada Hari Isnin, kerana jika ada hari lain yang lebih baik untuk seseorang manusia itu meninggal dunia, nescaya Allah telah mentaqdirkan Nabi s.a.w. wafat pada hari tersebut.
Tetapi hakikatnya, nasib kita di alam kubur bergantung kepada amalan kita semasa kita hidup di dunia; bukan pada hari apa kita meninggal dunia.
TAMBAHAN
Al-Imam at-Tirmizi sendiri menghukum hadis ini sebagai dha’if melalui komentarnya:
هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ وَهَذَا حَدِيثٌ لَيْسَ إِسْنَادُهُ بِمُتَّصِلٍ رَبِيعَةُ بْنُ سَيْفٍ إِنَّمَا يَرْوِي عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْحُبُلِيِّ عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو وَلَا نَعْرِفُ لِرَبِيعَةَ بْنِ سَيْفٍ سَمَاعًا مِنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو
Maksudnya:
“Ini adalah hadis yang Gharib (iaitu hadis yang diriwayatkan secara bersendirian oleh seorang perawi), dan isnad hadis ini tidak bersambung (kerana) Rabi’ah bin Saif hanya meriwayatkan hadis daripada Abu ‘Abdir Rahman al-Hubuli daripada ‘Abdullah bin ‘Amru, dan tidaklah kami ketahui yang Rabi’ah bin Saif pernah mendengar hadis (secara langsung) daripada ‘Abdullah bin ‘Amru.”
Ertinya, menurut al-Imam at-Tirmizi, hadis ini dha’if kerana sanadnya terputus antara Rabi’ah bin Saif dan ‘Abdullah bin ‘Amru sedangkan tidak terdapat bukti yang mereka berdua pernah bertemu.
Penyataan al-Imam at-Tirmizi ini dikuatkan lagi dengan fakta bahawa ‘Abdullah bin ‘Amru meninggal dunia pada tahun 63 Hijriyyah, sedangkan Rabi’ah bin Saif meninggal dunia pada tahun 120 Hijriyyah, iaitu jaraknya sekitar 57 tahun.
Maka, jika benarlah mereka berdua pernah bertemu, ia hanya berlaku ketika Rabi’ah bin Saif masih seorang kanak-kanak, sehingga agak mustahil untuk beliau mempelajari dan meriwayatkan hadis daripada ‘Abdullah bin ‘Amru ketika itu.
Meskipun hadis ini datang dengan beberapa lagi sanad, tetapi semuanya bertemu di madar (pusat pertemuan isnad) yang sama iaitu Rabi’ah bin Saif.
Dengan kata lain, bilangan sanad yang banyak tidak mampu untuk mengangkat status hadis ini kerana setiap sanad tersebut sekurang-kurangnya berkongsi satu masalah usul yang sama iaitu pada perawi bernama Rabi’ah bin Saif.
Maka, telah tersilaplah penilaian asy-Syaikh al-Albani yang menghukum hadis ini sebagai Hasan di dalam Sahih at-Tirmizi (1074).
Wallahu a’lam.