SOALAN: Siapakah sahabat yang dikatakan meragui peristiwa Isra’ dan Mi’raj ketika Rasulullah s.a.w. mula-mula bercerita tentangnya?
JAWAPAN:
Dakwaan bahawa ada sebahagian sahabat yang meragui kebenaran Nabi s.a.w. setelah pertama kali mendengar baginda menceritakan apa yang berlaku dalam peristiwa Isra’ dan Mi’raj berasal daripada riwayat Ibn Ishaq. Malangnya, dakwaan tersebut tidak bersanad dan beliau sendiri tidak menjelaskan siapakah sahabat yang meragui kebenaran peristiwa tersebut.
Demikianlah yang terjadi apabila kita mengambil sikap bermudah-mudah dalam masalah sirah sehingga kisah-kisah yang tidak sahih tersebar luas dan disangkakan sebagai benar oleh masyarakat awam.
Secara tidak langsung, ia memberikan gambaran buruk terhadap para sahabat, seolah-olah ramai dalam kalangan mereka yang mudah tergugat imannya. Inilah racun Syi’ah yang cuba dibawa masuk oleh Ibn Ishaq yang sememangnya ditohmah sebagai Syi’ah oleh sebahagian ‘ulamak.
Ada yang terkeliru kononnya Ibn Ishaq adalah seorang ‘ulamak yang boleh diterima riwayatnya kerana riwayatnya turut diambil oleh Ibn Hisham, seorang ‘ulamak Ahlus Sunnah wal Jama’ah. Sesungguhnya, ini adalah kekeliruan yang nyata kerana ramai ‘ulamak Ahlus Sunnah wal Jama’ah yang mengambil riwayat daripada Syi’ah, sebagaimana Imam Tirmizi turut meriwayatkan hadis daripada Jabir bin Yazid al-Ju’fi yang merupakan seorang pelampau Syi’ah, tetapi kebenaran riwayat tersebut hendaklah kembali ditapis dengan neraca ilmu hadis.
Wallahu a’lam.