SOALAN: Sejauh manakah percanggahan antara kepercayaan Wahdatul Wujud dengan ajaran Islam?
JAWAPAN:
Kepercayaan Wahdatul Wujud mempunyai percanggahan yang ketara dengan ajaran Islam, kerana fahaman ini meyakini bahawa yang wujudnya hanyalah Allah, manakala sekalian makhluk diumpamakan seperti bayang atau pantulan imej bagi Allah di cermin. Maka, mereka berpendapat bahawa manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan sekalian makhluk pada hakikatnya adalah Tuhan.
Sedangkan dalam Islam, kita meyakini bahawa Allah adalah al-Khaliq iaitu pencipta sekalian alam dan segala ciptaan-Nya itu adalah makhluk-Nya; bukan bayang-bayang atau pantulan imej bagi Allah.
Natijahnya, mereka menolak kewajipan solat dan segala macam ibadat kerana menganggap diri mereka sebagai Tuhan, sehingga tidak ada keperluan untuk beribadah kepada diri sendiri – wal’iyazu billah.
Dalam dunia Islam, fahaman Wahdatul Wujud mula dipopularkan oleh al-Hallaj sehingga dia dihukum bunuh dengan kesepakatan seluruh ‘ulamak pada zamannya. Lalu, ia dihidupkan sekali lagi oleh Ibn ‘Arabi yang sangat disanjung oleh Kaum Sufi sehingga ke hari ini.
Di India, kepercayaan ini menjadi tunggak bagi Tareqat Brelvi sehingga mereka berani mendakwa secara terbuka bahawa Nabi Muhammad s.a.w. adalah Allah yang turun dari ‘Arasy – wal’iyazu billah.
Adapun di Malaysia, antara individu yang bertanggungjawab dalam menyebarkan ajaran ini kepada masyarakat ialah Haji Ahmad Laksamana bin Omar melaluinya bukunya, “Hakikat Insan” yang telah difatwakan sebagai sesat oleh beberapa Majlis Fatwa Negeri di Malaysia dan diharamkan penyebarannya kepada masyarakat.
Antara hujah yang digunakannya ialah firman Allah s.w.t.:
الَّذِينَ إِذَا أَصَابَتْهُم مُّصِيبَةٌ قَالُوا إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ
Maksudnya: Iaitu orang-orang yang apabila mereka ditimpakan dengan sebarang musibah, mereka pasti berkata, “Sesungguhnya, kita adalah kepunyaan Allah dan kepada-Nyalah kita akan kembali.”
[Surah al-Baqarah (2) : 156]
Lalu, dia menyelewengkan maksud ayat ini dengan berkata bahawa kononnya, ia adalah dalil bahawa kita semua adalah sebahagian daripada Allah dan akan kembali bersatu dengan-Nya.
Sesungguhnya, fahaman Wahdatul Wujud sememangnya bercanggah dengan ‘aqidah Islam. Maka, barangsiapa yang beriman dengannya, dia telah terkeluar daripada Islam dan menjadi kafir.
Namun begitu, kepercayaan ini harus dibezakan dengan Wahdatusy Syuhud (yang kadang-kala turut disebut sebagai Wahdatul Wujud) iaitu perasaan sentiasa mengingati Allah apabila memandang mana-mana makhluk. Pada dasarnya, fahaman Wahdatusy Syuhud ini tidak salah.
Wallahu a’lam.