SOALAN: Adakah Mazhab Hanafi tidak mensyaratkan niat dalam semua ibadat termasuklah ibadah puasa?
JAWAPAN:
Para 'ulamak termasuklah dari Mazhab Hanafi telah bersepakat bahawa semua ibadat memerlukan niat. Hanyasanya Mazhab Hanafi berpendapat bahawa beberapa ibadat seperti wudhu’ dan mandi junub bukanlah ibadat.
Sebaliknya, pada mereka, wudhu’ dan mandi junub hanyalah “jalan” yang membolehkan kita menunaikan ibadat. Maka, menurut Mazhab Hanafi, “jalan” seperti ini tetap sah meskipun ia dikerjakan tanpa disertakan dengan niat.
Antara alasan yang digunakan oleh Mazhab Hanafi ialah niat hanya diperlukan untuk membezakan perbuatan orang Islam dengan orang kafir. Adapun basuhan pada anggota tertentu yang dilakukan ketika berwudhu’ dan mandi junub yang dilakukan setelah berhadas besar, ia tidak dilakukan melainkan oleh orang Islam sahaja, sehingga tidak ada keperluan untuk mempunyai niat di sini.
Adapun ibadat seperti puasa dan solat, ia tetap berhajat kepada niat menurut kesepakatan ‘ulamak termasuklah Mazhab Hanafi.
Tetapi pendapat Mazhab Hanafi ini ditolak oleh jumhur (majoriti) ‘ulamak kerana terdapat banyak hadis yang menunjukkan bahawa amalan bersuci seperti mengambil wudhu’ boleh menggugurkan dosa, sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:
إِذَا تَوَضَّأَ الْعَبْدُ الْمُسْلِمُ - أَوِ الْمُؤْمِنُ - فَغَسَلَ وَجْهَهُ خَرَجَ مِنْ وَجْهِهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ نَظَرَ إِلَيْهَا بِعَيْنَيْهِ مَعَ الْمَاءِ أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ - فَإِذَا غَسَلَ يَدَيْهِ خَرَجَ مِنْ يَدَيْهِ كُلُّ خَطِيئَةٍ كَانَ بَطَشَتْهَا يَدَاهُ مَعَ الْمَاءِ - أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ - فَإِذَا غَسَلَ رِجْلَيْهِ خَرَجَتْ كُلُّ خَطِيئَةٍ مَشَتْهَا رِجْلاَهُ مَعَ الْمَاءِ - أَوْ مَعَ آخِرِ قَطْرِ الْمَاءِ - حَتَّى يَخْرُجَ نَقِيًّا مِنَ الذُّنُوبِ
Maksudnya:
“Apabila seseorang hamba Muslim atau Mu’min itu berwudhu seraya membasuh wajahnya, nescaya terkeluar daripada wajahnya itu setiap dosa yang dilihat oleh kedua-dua belah matanya bersama-sama dengan air wudhu’.
Lalu, apabila dia membasuh kedua-dua belah tangannya, nescaya terkeluar daripada kedua-dua belah tangannya itu setiap dosa dek kekasaran tangannya bersama-sama dengan air wudhu’.
Lalu, apabila dia membasuh kedua-dua belah kakinya, nescaya terkeluar daripada kedua-dua belah kakinya itu dosa-dosa yang telah dilalui oleh kakinya bersama-sama dengan air wudhu’.
Sehinggalah (akhir) dia keluar dalam keadaan suci daripada dosa-dosa.”
Hadis ini menjadi isyarat bahawa wudhu’ adalah ibadah, dan pendapat inilah yang lebih tepat.
Wallahu a’lam.