SOALAN: Apakah maksud “Hadis Musalsal” dan adakah ia memiliki kelebihan berbanding hadis-hadis lain?
JAWAPAN:
Dari segi bahasa, perkataan “Musalsal” adalah isim maf’ul daripada perkataan “Salsala, Yusalsilu,” yang bermaksud sesuatu yang bersambung dengan sesuatu yang lain atau sesuatu yang berantai-rantai.
Dari segi istilah pula, Hadis Musalsal merujuk kepada sejenis hadis yang mana semua perawi sanadnya meriwayatkan hadis tersebut di atas suatu sifat atau keadaan tertentu, sama ada dalam bentuk perkataan, perbuatan, mahupun kedua-duanya.
Contoh Hadis Musalsal melalui perkataan dan perbuatan ialah Hadis Mu’az bin Jabal r.a. yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud dengan sanadnya:
حَدَّثَنَا عُبَيْدُ اللَّهِ بْنُ عُمَرَ بْنِ مَيْسَرَةَ، حَدَّثَنَا عَبْدُ اللَّهِ بْنُ يَزِيدَ الْمُقْرِئُ، حَدَّثَنَا حَيْوَةُ بْنُ شُرَيْحٍ، قَالَ سَمِعْتُ عُقْبَةَ بْنَ مُسْلِمٍ، يَقُولُ حَدَّثَنِي أَبُو عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْحُبُلِيُّ، عَنِ الصُّنَابِحِيِّ، عَنْ مُعَاذِ بْنِ جَبَلٍ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَخَذَ بِيَدِهِ وَقَالَ " يَا مُعَاذُ وَاللَّهِ إِنِّي لأُحِبُّكَ وَاللَّهِ إِنِّي لأُحِبُّكَ " . فَقَالَ " أُوصِيكَ يَا مُعَاذُ لاَ تَدَعَنَّ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ تَقُولُ اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ " . وَأَوْصَى بِذَلِكَ مُعَاذٌ الصُّنَابِحِيَّ وَأَوْصَى بِهِ الصُّنَابِحِيُّ أَبَا عَبْدِ الرَّحْمَنِ .
Maksudnya:
Telah menceritakan kepada kami ‘Ubaidullah bin ‘Umar bin Maisarah, telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Yazid al-Muqri’, telah menceritakan kepada kami Haiwah bin Syuraih, katanya, “Aku telah mendengar ‘Uqbah bin Muslim berkata, “Telah menceritakan kepadaku Abu ‘Abdir Rahman al-Hubuli, daripada as-Sunabihi, daripada Mu’az bin Jabal, bahawasanya Rasulullah s.a.w. memegang tangannya (Mu’az), lalu berkata, “Wahai Mu’az,demi Allah, sesungguhnya aku mencintaimu. Demi Allah, sesungguhnya, aku mencintaimu.”
Kemudian, baginda bersabda lagi, “Aku berwasiat kepadamu wahai Mu’az, janganlah engkau tinggalkan pada setiap hujung solatmu doa:
اللَّهُمَّ أَعِنِّي عَلَى ذِكْرِكَ وَشُكْرِكَ وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ
‘Ya Allah ya Tuhan kami, bantulah daku untuk mengingati-Mu, mensyukuri-Mu dan memperelokkan ibadahku kepada-Mu.’”
Mu’az pun berwasiat kepada as-Sunabiji dengan kalimat itu, dan as-Sunabiji pun berwasiat kepada Abu ‘Abdir Rahman dengan kalimat itu.
[Takhrij Sunan Abi Daud (1522) oleh as-Syaikh Syu’aib al-Arna’uth: Isnadnya Sahih]
Maka, setiap perawi hadis di atas pun memegang tangan orang yang meriwayatkan hadis daripada mereka, lalu menyebut, “Wahai Mu’az, demi Allah, sesungguhnya aku mencintaimu…” sehingga selesai.
Sesungguhnya, inilah keistimewaan Hadis Musalsal berbanding hadis-hadis lain kerana menjelaskan keadaan Nabi s.a.w. saat baginda menyebut sesuatu hadis. Selain itu, ia seakan-akan menjadi petunjuk bahawa perawi hadis tersebut mempunyai ingatan yang kuat sehingga mampu mengingati latar bagi sesebuah hadis.
Namun begitu, ia sebenarnya tetap tidak menjamin kesahihan sesuatu hadis, kerana hakikatnya mengingati latar sesuatu hadis tidak memberikan jaminan bahawa perawi tersebut juga benar-benar menghafal apa yang dilafazkan oleh Nabi s.a.w.
Kerana itulah ada juga Hadis Musalsal yang bukan sahaja bertaraf Dha’if, malah Maudhu’ (Palsu). Maka, sama seperti hadis-hadis lain, Hadis Musalsal juga perlu ditapis dengan syarat-syarat hadis sahih bagi menentukan statusnya.
Wallahu a’lam.