SOALAN: Mengapakah timbul perbezaan ketara dalam memahami Hadis Jariyah dalam kalangan
ulama? Adakah ia juga melibatkan kaedah-kaedah usul atau semata-mata nak membela fahaman masing-masing?
JAWAPAN:
Barangkali Hadis Jariyah yang ditanya di dalam soalan di atas merujuk kepada apa yang diceritakan oleh Mu’awiyah bin al-Hakam as-Sulami, katanya:
وَكَانَتْ لِي جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِي قِبَلَ أُحُدٍ وَالْجَوَّانِيَّةِ فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ فَإِذَا الذِّيبُ قَدْ ذَهَبَ بِشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا وَأَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِي آدَمَ آسَفُ كَمَا يَأْسَفُونَ لَكِنِّي صَكَكْتُهَا صَكَّةً فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَىَّ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلاَ أُعْتِقُهَا قَالَ: ائْتِنِي بِهَا. فَأَتَيْتُهُ بِهَا فَقَالَ لَهَا: أَيْنَ اللَّهُ. قَالَتْ فِي السَّمَاءِ. قَالَ: مَنْ أَنَا. قَالَتْ أَنْتَ رَسُولُ اللَّهِ. قَالَ: أَعْتِقْهَا فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ.
Maksudnya:
“Dahulu, aku mempunyai seorang hamba wanita untuk menjaga haiwan ternakan di antara pinggir Bukit Uhud dengan sebuah tempat bernama al-Jawwaniyyah.
Sampailah pada suatu hari, ketika aku sedang melalui kawasan tersebut, tiba-tiba aku dapati yang seekor serigala telah menangkap salah seekor kambing yang dijaga olehnya, sedangkan aku adalah seorang lelaki biasa dari kalangan anak-anak Adam; aku boleh berasa marah sebagaimana orang lain pun boleh berasa marah, tetapi aku telah (bertindak melampaui batas sehingga) aku menamparnya sekali.
Maka, aku pun mendatangi Rasulullah s.a.w. dan baginda berpendapat bahawa kesalahan yang aku lakukan itu sesuatu yang besar. Aku pun berkata, ‘Wahai Rasulullah, adakah aku perlu membebaskannya?’Baginda menjawab, ‘Bawalah dia kepadaku.’
Maka, aku pun membawanya kepada baginda, dan baginda bertanya kepadanya, ‘Di manakah Allah?’ Dia menjawab, ‘Diatas langit.’ Baginda bertanya lagi, ‘Siapakah aku?’ Dia menjawab, ‘Engkau adalah Rasulullah.’ Baginda pun bersabda, ‘Bebaskanlah dia kerana sesungguhnya dia adalah seorang wanita yang beriman.’”
Maka, maksud soalan ini adalah untuk mengetahui punca perbezaan ketara ulama Asya’irah dengan ulama Salafiah dalam memahami Hadis Jariyah, iaitu sama ada kerana berpunca daripada perbezaan usul ‘aqidah yang menjadi pegangan kedua-dua aliran, atau semata-mata kerana mahu membela keyakinan dan pendirian masing-masing.
Saya berpendapat yang kedua-dua aliran ini berbeza pendapat dalam memahami hadis ini kerana kedua-duanya berpegang pada usul ‘aqidah yang berbeza.
Secara ringkasnya, Asya’irah berpegang dengan usul ‘aqidah yang meyakini bahawasanya Allah tidak menyerupai makhluk. Maka, Allah tidak boleh dikaitkan dengan tempat atau arah tertentu, kerana menurut mereka, ia adalah kelaziman yang ada pada makhluk.
Kerana itulah Asya’irah mentakwil setiap nas yang bersangkutan dengan Sifat-Sifat Allah yang menampakkan penyerupaan dengan makhluk. Misalnya, ungkapan “Di atas langit” yang disebutkan oleh Jariyah di dalam hadis ini ditakwilkan sebagai kedudukan yang tinggi.
Berbeza dengan Asya’irah, Salafiah pula berpegang dengan usul ‘aqidah bahawasanya nas-nas yang menyebut tentang Sifat-Sifat Allah hendaklah difahami secara zahirnya dengan mensucikan kaifiat-Nya daripada menyerupai makhluk. Mereka juga melarang perbuatan takwil melainkan jika terdapat qarinah di dalam nas yang menunjukkan bahawa Sifat-Sifat tersebut perlu ditakwil.
Maka, Salafiah beriman yang Allah benar-benar berada di atas langit, tetapi kaifiat-Nya tidak diketahui kerana ia tidak sama dengan kaifiat mana-mana makhluk.
Kesimpulannya, meskipun kedua-dua aliran ini mempunyai usul ‘aqidah yang berbeza, tetapi tujuannya sama iaitu untuk menafikan penyerupaan Allah dengan makhluk.
Wallahu a’lam.