SOALAN: Dalam majlis ‘aqiqah, biasanya diadakan amalan mencukur rambut bayi. Kemudian, rambut bayi itu ditimbang lalu disedekahkan mengikut nilai emas. Adakah amalan ini termasuk dalam sunnah Nabi s.a.w.?
JAWAPAN:
Al-Imam at-Tirmizi telah meriwayatkan sebuah hadis dengan sanadnya daripada ‘Ali bin Abu Tholib r.a. katanya:
عَقَّ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الْحَسَنِ بِشَاةٍ وَقَالَ يَا فَاطِمَةُ احْلِقِي رَأْسَهُ وَتَصَدَّقِي بِزِنَةِ شَعْرِهِ فِضَّة
Maksudnya: Rasulullah s.a.w. telah meng’aqiqahkan al-Hasan dengan seekor kambing, seraya bersabda, “Wahai Fatimah, cukurlah kepalanya dan bersedekahlah dengan perak mengikut berat rambutnya.”
Hadis di atas menunjukkan bahawa disunatkan untuk mencukur rambut bayi pada hari ‘aqiqahnya, lalu ditimbang rambutnya (dalam keadaan kering) dan disedekahkan dengan perak (atau nilai perak) mengikut berat rambutnya itu.
Inilah amalan yang menepati sunnah.
Jika mampu bersedekah mengikut nilai emas, tentu sahaja itu lebih baik kerana tujuan amalan ini adalah untuk menunjukkan tanda kesyukuran kita dengan mengingati orang-orang yang susah. Tetapi Nabi s.a.w. menyarankan supaya disedekahkan mengikut nilai perak, kerana ia lebih murah sehingga lebih ramai yang dapat mengikut anjuran baginda tersebut.
Demikian juga disunatkan mentahnik iaitu mencicipkan sedikit cebisan buah kurma ke dalam mulut bayi. Juga tidak mengapa dicampurkan kurma tersebut dengan air zamzam jika dikhuatiri bayi tercekik ketika cuba menelan buah kurma tersebut.
Wallahu a'lam.