SOALAN: Saya mempunyai tiga soalan:
1. Antara selawat yang menyebut kalimah “Sayyidina” dengan tidak menyebut kalimah “Sayyidina,” manakah satukah yang sahih daripada Nabi s.a.w.?
2. Antara menyebut, (صلى الله عليه وسلم) dengan (صلى الله عليه وسلم وعلى آله) mana satukah yang betul?
3. Apakah yang dimaksudkan dengan perkataan “Aali Muhammad”? Adakah ia merujuk kepada Fatimah, ‘Ali, Hasan dan Hussain sahaja?
JAWAPAN:
Tentang soalan pertama, kedua-dua lafaz tersebut boleh digunakan. Tetapi, yang lebih tepat dengan ajaran Nabi s.a.w. ialah dengan tidak menambah kalimah “Sayyidina,” dan itulah yang lebih baik kerana Sunnah baginda adalah sebaik-baik petunjuk, sebagimana sabdanya:
وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ
Maksudnya:
“Sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk (Sunnah) Muhammad.”
Tentang soalan kedua, cara susunan yang lebih menepati kaedah Bahasa Arab ialah:
صلى الله عليه وعلى آله وسلم
Maksudnya:
“Semoga Allah berselawat dan mencucuri kesejahteraan atas baginda dan atas keluarga baginda.”
Hanyasanya lafaz ini masyhur dalam kalangan Syi’ah. Maka,lebih baik jika kita berpada dengan lafaz:
صلى الله عليه وسلم
Maksudnya:
“Semoga Allah berselawat dan mencucuri kesejahteraan atas baginda,”
yang lebih kerap digunakan oleh Ahlus Sunnah wal Jama’ah.
Tetang soalan ketiga pula, terdapat banyak pendapat berhubung perkara ini, tetapi yang pasti ia tidak khusus kepada Fatimah, ‘Ali, Hasan dan Hussain sahaja. Begitulah jawapan ringkas bagi soalan ini.
Wallahu a’lam.