SOALAN: Al-Imam at-Tirmizi berkata bahawa semua hadis yang beliau riwayatkan di dalam Jami’ at-Tirmizi itu diamalkan oleh para ‘ulamak kecuali dua buah hadis. Tetapi, Jami’ at-Tirmizi juga mengandungi hadis-hadis dha’if. Jadi apakah yang dimaksudkan dengan “diamalkan” tersebut? Tidakkah ia berpotensi untuk membuka peluang kepada para pelaku bid’ah untuk menjadikannya sebagai hujah bahawa boleh beramal dengan hadis-hadis yang dha’if dan maudhu’?
JAWAPAN:
Benar, al-Imam at-Tirmizi ada menyebutkan di dalam Kitab al-‘Ilal bahawa semua hadis yang diriwayatkannya di dalam Jami’ at-Tirmizi itu diamalkan oleh para ‘ulamak melainkan dua buah hadis, iaitu hadis yang beliau riwayatkan dengan sanadnya daripada Ibn ‘Abbas r.a.huma., katanya:
جَمَعَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم بَيْنَ الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَبَيْنَ الْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ بِالْمَدِينَةِ مِنْ غَيْرِ خَوْفٍ وَلاَ مَطَرٍ
Maksudnya: “Rasulullah s.a.w. telah menjamakkan Solat Zohor dengan Solat ‘Asar dan Solat Maghrib dengan Solat ‘Isyak di Madinah bukan kerana takut mahupun hujan.”
مَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ فَاجْلِدُوهُ فَإِنْ عَادَ فِي الرَّابِعَةِ فَاقْتُلُوهُaripada Mu’awiyah bin Abu Sufyan r.a.huma., katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda:
مَنْ شَرِبَ الْخَمْرَ فَاجْلِدُوهُ فَإِنْ عَادَ فِي الرَّابِعَةِ فَاقْتُلُوهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang meminum arak, sebatlah dia. Lalu, jika dia mengulangi (kesalahan itu) buat kali yang keempat, bunuhlah dia.”
Tetapi, hakikatnya kedua-dua buah hadis ini pun turut diamalkan oleh sebahagian ‘ulamak. Misalnya, ‘ulamak Mazhab Hanafi menjadikan hadis pertama sebagai hujah pensyari’atan Solat Jamak Suri iaitu dengan melewatkan Solat Zohor dan Maghrib dan menyegerakan Solat Asar dan ‘Isyak, sehingga ia tampak seperti Nabi s.a.w. menjamakkan solat, sedang hakikatnya, tidak.
Hadis kedua juga diamalkan oleh ‘ulamak Mazhab Hanafi sebagai dalil penetapan hukuman takzir buat orang yang kerap meminum arak.
Jadi, barangkali yang dimaksudkan oleh al-Imam at-Tirmizi sebagai tidak diamalkan di sini ialah kedua-dua hadis ini tidak diamalkan oleh para ‘ulamak secara meluas.
Adapun hadis-hadis lain yang diriwayatkan di dalam Jami’ at-Tirmizi, ia memang diamalkan oleh para
‘ulamak dalam bab fiqh. Tetapi, ini tidaklah bererti yang mereka turut menjadikan hadis-hadis dha’if sebagai hujah.
Sebaliknya, hadis-hadis dha’if yang dimuatkan oleh al-Imam at-Tirmizi di dalam Jami’nya itu sebenarnya turut datang melalui sanad lain yang bertaraf maqbul (sahih atau hasan) dan riwayat-riwayat bertaraf maqbul inilah yang dijadikan hujah oleh para fuqaha’.
Tetapi, sengaja al-Imam at-Tirmizi mendatangkan hadis-hadis tersebut melalui riwayat yang dha’if untuk memperkenalkan perawi dan menunjukkan bahawa hadis-hadis yang maqbul itu turut diriwayatkan melalui jalur yang dha’if.
Hal ini dilakukan kerana al-Imam at-Tirmizi berhasrat mahu mengajar para penuntut ilmu supaya menjadi muhaddits (pakar hadist). Kerana itulah Jami’ at-Tirmizi dijadikan salah satu sukatan pelajaran utama pengajian ilmu hadis.
Maka, tidak timbul isu para fuqaha’ senagaja berhujah dengan hadis dha’if untuk menetapkan hukum-hakam fiqh.
Wallahu a’lam.