SOALAN: Apakah yang dimaksudkan dengan “menyempurnakan rukuk” dan “khusyuk”? Dan bagaimanakah cara untuk mendapatkannya?
JAWAPAN:
Terdapat beberapa nas yang memberikan isyarat gambar gembira menanti kepada orang-orang yang solat dengan khusyuk dan menyempurnakan rukuk dan sujudnya. Antaranya adalah firman Allah Ta’ala:
قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ
Maksudnya:
“Telah berjayalah orang-orang beriman yang khusyuk dalam solat mereka.”
[Surah al-Mu’minun (23) : 1-2]
Pada beberapa ayat seterusnya, Allah berfirman:
أُوْلَئِكَ هُمُ الْوَارِثُونَ الَّذِينَ يَرِثُونَ الْفِرْدَوْسَ هُمْ فِيهَا خَالِدُونَ
Maksudnya:
“Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi Syurga Firdaus sedang mereka kekal di dalamnya.”
[Surah al-Mu’minun (23) : 10-11]
Demikianlah juga sabda Nabi s.a.w.:
لا تُجْزِئُ صَلاَةٌ لاَ يُقِيمُ فِيهَا الرَّجُلُ يَعْنِي صُلْبَهُ فِي الرُّكُوعِ وَالسُّجُودِ
Maksudnya:
“Tidak akan diberikan ganjaran (pahala) solat kepada sesiapa yang tidak meluruskan tulang belakangnya ketika rukuk dan sujud.”
Nas-nas di atas menunjukkan bahawa solat yang khusyuk dan menyempurnakan rukuk dan sujud adalah antara syarat diterimanya solat seseorang sehingga dia akan diganjarkan dengan syurga.
Jika tidak, solatnya menjadi sia-sia dan tidak memberikan sebarang kesan baik kepadanya di dunia dan di akhirat.
Sebenarnya, maksud asal perkataan khusyuk ialah tetap dan tidak bergerak. Kerana itulah Mazhab Syafi’i berpendapat bahawa pergerakan sebanyak tiga kali secara berturut-turut (selain daripada gerakan dalam solat) boleh menyebabkan terbatalnya solat seseorang.
Jika pergerakannya kurang daripada itu, kesempurnaan solatnya terjejas kerana dianggap sebagai kurang khusyuk.
Tetapi, maksud sebenar khusyuk ialah memberikan sepenuh perhatian terhadap solat dengan tidak memikirkan hal-hal lain ketika sedang mendirikannya. Ia boleh dikecapi dengan memahami makna ayat-ayat dan zikir-zikir yang dibaca di dalam solat.
Selain itu, kita juga perlu merenungi maqsud atau tujuan bagi setiap gerakan kita di dalam solat. Misalnya, kita disuruh duduk bersimpuh dan melihat tempat sujud ketika bersolat untuk menggambarkan kerendahan kita kepada Allah Yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.
Jika kita merenungi hal ini, insya Allah ia dapat membantu kita untuk solat dengan khusyuk, sehingga solat yang kita dirikan mampu memberikan kesan yang baik kepada kita di dunia ini lagi.
Adapun maksud rukuk dengan sempurna, ertinya kita disuruh supaya rukuk dengan meluruskan tulang belakang beserta thoma’ninah.
Wallahu a’lam.