SOALAN: Terdapat sebuah hadis yang menyatakan bahawa Nabi s.a.w. melihat kebanyakan penghuni syurga adalah orang-orang faqir. Persoalannya, apakah maksud “Faqir” yang disebutkan oleh Nabi s.a.w. di dalam hadis tersebut? Dan adakah ini bererti yang Islam menggalakkan umatnya supaya menjadi faqir?
JAWAPAN:
Al-Imam al-Bukhari telah meriwayatkan dengan sanadnya bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
اطَّلَعْتُ فِي الْجَنَّةِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَأَهْلِهَا الْفُقَرَاءَ وَاطَّلَعْتُ فِي النَّارِ فَرَأَيْتُ أَكْثَرَ أَهْلِهَا النِّسَاءَ
Maksudnya:
“Aku telah menjenguk ke dalam syurga dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah orang-orang faqir. Aku juga telah menjenguk ke dalam neraka dan aku melihat kebanyakan penghuninya adalah kaum wanita.”
Perkataan “Faqir” di dalam hadis ini bukanlahbermaksud susah atau papa kedana. Sebaliknya, ia merujuk kepada apa yang Allah sebutkan di dalam al-Quran, melalui firman-Nya:
وَاللَّهُ الْغَنِيُّ وَأَنتُمُ الْفُقَرَاءُ
Maksudnya:
“Allah Maha Kaya dan kamu semuaadalah orang-orang yang faqir.”
[Surah Muhammad (47) : 38]
“Kekayaan” di dalam ayat di atas bermaksud tidak berhajat kepada apa pun. Manakala “Kefaqiran” pula bermaksud sentiasa berhajat atau berharap kepada sesuatu yang lain.
Dan inilah hakikat manusia kerana biar sekaya mana pun dia, tetaplah dia berhajat kepada sesuatu yang lain seperti oksigen untuk bernafas, makanan dan minuman untuk meneruskan hidup dan lain-lain lagi.
Tetapi, hanya mereka yang benar-benar beriman sahaja yang menyedari hakikat ini. Adapun orang-orang kafir atau atheist, mereka tidak hidup dengan perasaan kehambaan dan kerendahan hati seperti ini.
Wallahu a’lam.