SOALAN: Adakah lelaki berambut panjang sehingga perlu memakai cekak itu termasuk dalam perbuatan lelaki menyerupai perempuan yang dilarang dalam agama? Dan adakah perempun yang berambut pendek lalu tidak memakai tudung itu boleh dikira sebagai menyerupai lelaki yang turut dilarang oleh agama?
JAWAPAN:
Lelaki yang berambut panjang tidak dianggap sebagai menyerupai wanita, kerana Nabi s.a.w., para sahabat dan kibar aimmah (para ‘ulamak besar) dalam kalangan Salafu Soleh dahulu rata-ratanya berambut panjang sehingga sukar untuk mencari lelaki yang berambut pendek pada zaman mereka.
Tetapi, sebaik-baiknya, rambut itu tidaklah terlalu panjang sehingga melepasi paras bahu, seperti kadar panjang rambut Nabi s.a.w. yang disifatkan oleh Anas bin Malik r.a.:
كَانَ شَعَرُرَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم رَجِلاً لَيْسَ بِالسَّبِطِ وَلاَ الْجَعْدِ بَيْنَ أُذُنَيْهِ وَعَاتِقِهِ
Maksudnya: “Dahulu, rambut Rasulullah s.a.w. itu tidaklah lurus dan tidaklah juga kerinting (iaitu ikal mayang), ia terjuntai antara kedua-dua belah telinga hingga ke bahu baginda.”
Kita juga hendaklah memastikan rambut kita sentiasa kemas dan rapi, sebagaimana Nabi s.a.w. sentiasa menyapu minyak pada rambut baginda dan membawa sikat ke mana sahaja baginda pergi.
Baginda juga tidak suka melihat orang yang rambutnya tidak terurus, seperti apa yang diceritakan oleh Jabir bin ‘Abdullah r.a. katanya:
أُتِيَبِأَبِي قُحَافَةَ يَوْمَ فَتْحِ مَكَّةَ وَرَأْسُهُ وَلِحْيَتُهُ كَالثَّغَامَةِ بَيَاضًا فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم غَيِّرُوا هَذَا بِشَىْءٍ وَاجْتَنِبُوا السَّوَادَ
Maksudnya: Telah dibawa Abu Quhafah (menghadap Nabi s.a.w.) pada Hari Pembukaan Makkah dalam keadaan rambut dan janggutnya putih seperti pohon Tsaghamah. Maka, Rasulullah s.a.w. pun bersabda, “Ubahlah penampilannya ini dengan sesuatu dan hindarilah daripada mewarnakan rambut dan janggutnya dengan warna hitam.”
Perbuatan memakai cekak, mengikat rambut dan seumpama dengannya juga tidak salah sebagaimana hal itu maklum sejak zaman Nabi s.a.w. lagi. Tetapi, rambut itu sebaik-baiknya dilepaskan apabila hendak solat, baik lelaki mahupun perempuan, supaya semua bahagian tubuh kita sama-sama bersujud mengikut kadar masing-masing, sebagaimana yang diterangkan oleh Ibn ‘Abbas r.a.huma., katanya:
أُمِرَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَنْيَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةٍ وَنُهِيَ أَنْ يَكُفَّ شَعْرَهُ وَثِيَابَهُ
Maksudnya: “Nabi s.a.w. telah diperintahkan untuk bersujud di atas tujuh (anggota) dan baginda dilarang daripada menahan rambut dan bajunya (daripada turut sama bersujud).”
Kerana itulah Abu Rafi’ membuka ikatan rambut Hasan bin ‘Ali ketika beliau hendak mendirikan solat, sebagaimana yang diceritakan oleh Abu Sa’id al-Muqbiri:
أَنَّهُ رَأَى أَبَا رَافِعٍ مَوْلَى النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم مَرَّ بِحَسَنِ بْنِ عَلِيٍّ عَلَيْهِمَا السَّلاَمُ وَهُوَ يُصَلِّي قَائِمًا وَقَدْ غَرَزَ ضُفُرَهُ فِي قَفَاهُ فَحَلَّهَا أَبُو رَافِعٍ فَالْتَفَتَ حَسَنٌ إِلَيْهِ مُغْضَبًا فَقَالَ أَبُو رَافِعٍ أَقْبِلْ عَلَى صَلاَتِكَ وَلاَ تَغْضَبْ فَإِنِّي سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَقُولُ ذَلِكَ كِفْلُ الشَّيْطَانِ
Maksudnya: Bahawasanya beliau melihat Abu Rafi’ maula Nabi s.a.w. berjalan ke arah Hasan bin ‘Ali a.huma.s. ketika beliau sedang berdiri untuk bersolat dalam keadaan beliau menyanggulkan rambutnya
pada paras tengkuknya. Tiba-tiba, Abu Rafi’ melepaskan rambut Hasan. Hasan pun menoleh ke arahnya dalam keadaan marah. Maka, Abu Rafi’ berkata, “Kembalilah kepada solatmu itu dan janganlah engkau marah, kerana sesungguhnya, aku telah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, ‘Itu (rambut yang disanggul atau diikat di dalam solat) adalah tempat duduk syaitan.’”
Tetapi, kalau tidak dibuka, solatnya tetap sah, tetapi makruh di sisi jumhur (majoriti) ‘ulamak.
Adapun penyerupaan yang dilarang hanyalah apabila seseorang memakai pakaian yang hanya dipakai oleh jantina lawannya sahaja dan ia juga hendaklah dinilai mengikut ‘uruf (kebiasaan setempat). Misalnya, ramai lelaki di Terengganu yang memakai kain batik. Maka, bagi mereka, ia tidak termasuk dalam perbuatan lelaki menyerupai wanita.
Demikian juga tidak salah bagi perempuan untuk berambut pendek, sebagaimana ia juga menjadi kebiasaan sebahagian isteri Nabi s.a.w. Hal ini sebagaimana yang dikhabarkan oleh Abu Salamah, katanya:
وَكَانَ أَزْوَاجُ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم يَأْخُذْنَ مِنْ رُءُوسِهِنَّ حَتَّى تَكُونَ كَالْوَفْرَةِ
Maksudnya: “Dahulu, isteri-isteri Nabi s.a.w. memendekkan rambut mereka sehingga ke paras cuping telling.”
Yang menjadi kesalahan hanyalah apabila perempuan itu mendedahkan rambutnya kepada bukan mahram.
Wallahu a’lam.