SOALAN: Sejauh manakah larangan ke atas kanak-kanak yang belum berkhatan untuk solat berjama’ah di saf pertama?
JAWAPAN:
Pada asalnya,semua mazhab bersepakat bahawa kanak-kanak dibenarkan untuk bersolat di dalam
satu saf bersama-sama dengan orang dewasa, sama ada dia telah berkhatan atau pun tidak, asalkan dia benar-benar suci daripada najis.
Tetapi, Mazhab Syafi’i memberikan sedikit penekanan soal kanak-kanak yang belum berkhatan kerana dibimbangi masih tersisa air kencing pada hujung kemaluannya, dan perkara ini merupakan sesuatu yang besar dalam agama kerana boleh mengundang azab di alam kubur, sebagaimana yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dengan sanadnya daripada Ibn ‘Abbas r.a.huma., katanya:
خَرَجَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم مِنْ بَعْضِ حِيطَانِ الْمَدِينَةِ فَسَمِعَ صَوْتَ إِنْسَانَيْنِ يُعَذَّبَانِ فِي قُبُورِهِمَا فَقَالَ يُعَذَّبَانِ وَمَا يُعَذَّبَانِ فِي كَبِيرَةٍ وَإِنَّهُ لَكَبِيرٌ كَانَ أَحَدُهُمَا لاَ يَسْتَتِرُ مِنَ الْبَوْلِ وَكَانَ الآخَرُ يَمْشِي بِالنَّمِيمَةِ
Maksudnya:
Nabi s.a.w. telah keluar daripada beberapa (buah kebun) berpagar di Madinah. Tiba-tiba, baginda terdengar suara dua manusia yang sedang diazab di dalam kubur mereka. Maka, baginda pun bersabda, “Mereka berdua sedang diazab, dan tidaklah mereka diazab kerana melakukan kesalahan yang besar (pada zahirnya), tetapi ianya tetap besar (di sisi Allah). Salah seorang daripada mereka tidak bersuci daripada kencingnya, manakala seorang lagi suka mengadu domba.”
Kemudian, terdapat satu pendapat dalam Mazhab Syafi’i yang berpandangan bahawa kita dikira menanggung najis sekiranya sesuatu yang bernajis itu bergerak bersama-sama dengan kita. Misalnya, jika imam memakai mikrofon berwayar pada bajunya dan pada wayar tersebut terdapat
tahi cicak atau sebarang najis. Sekiranya tempat kena najis itu turut bergerak bersama-sama dengan gerakan imam, maka imam tersebut dikira menanggung najis tahi cicak itu dan solatnya menjadi tidak sah.
Demikianlah juga halnya jika seseorang kanak-kanak itu bersandar atau tiba-tiba duduk di atas
kita dalam keadaan dia bernajis, maka solat kita juga menjadi terbatal mengikut pendapat ini, kerana kita dikira menanggung najis kanak-kanak tersebut.
Tetapi,pendapat ini tidak diamalkan oleh jumhur ‘ulamak, termasuklah al-Imam al-Bukhari dan sebahagian ‘ulamak dalam Mazhab Syafi’i. Menurut mereka, kesucian seseorang itu dihukum pada zahirnya sahaja dan tidak perlu dipersulitkan soal “menanggung najis” pada alat-alat atau kanak-kanak yang tidak suci, selagi mana najis tersebut tidak terkena pada pakaian atau diri kita.
Walau bagaimanapun solusi terbaik bagi menangani masalah ini adalah dengan mengkhatankan kanak-kanak ketika mereka masih bayi, supaya dapat keluar daripada khilaf.
Wallahu a’lam.