SOALAN: Apakah yang dimaksudkan dari sabda Nabi s.a.w. tentang lelaki menyerupai wanita dan wanita menyerupai lelaki?
JAWAPAN:
Daripada Ibn ‘Abbas r.a. katanya:
لَعَنَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم الْمُخَنَّثِينَ مِنَ الرِّجَالِ وَالْمُتَرَجِّلاَتِ مِنَ النِّسَاءِ
Maksudnya: “Nabi s.a.w. melaknat lelaki-lelaki yang menyerupai wanita dan wanita-wanita yang menyerupai lelaki.”
Yang dimaksudkan dengan penyerupaan di sini adalah pada pakaian, gaya percakapan, cara berjalan
dan sebagainya, melainkan jika ia memang sifat semulajadinya yang tidak lagi boleh diubah, seperti lelaki yang bersuara kecil seperti perempuan.
Tetapi, jika ia sengaja dibuat-buat, seperti lelaki sengaja berpakaian seperti perempuan, ia termasuk dalam larangan yang disebut di dalam hadis ini.
Punca larangan ini adalah kerana ia boleh mengubah fitrah kejadian manusia.
Perbuatan ini juga termasuk dalam dosa-dosa besar kerana dilaknat oleh Nabi s.a.w. Maka, tidak seharusnya kita mengambil mudah atau bergurau dengannya.
Wallahu a’lam.