SOALAN: Apakah pandangan empat mazhab tentang masalah batalnya wuduk jika menyentuh kemaluan?
JAWAPAN:
Para ‘ulamak berbeza pendapat dalam masalah seseorang menyentuh permukaan kemaluannya sendiri dan khilaf ini telah bermula sejak dari zaman sahabat lagi.
Misalnya,Khalifah ‘Umar bin al-Khattab r.a. berpendapat bahawa batal wuduk seseorang yang tersentuh kemaluannya, dan inilah pendapat yang dipilih oleh Mazhab Maliki dan Mazhab Syafi’i.
Tetapi,Khalifah ‘Ali bin Abu Tholib dan ‘Abdullah bin Mas’ud r.a.hum. pula berpendapat bahawa tidak batal wuduk seseorang yang menyentuh kemaluannya sendiri kerana menganggap bahawa ia sama seperti anggota tubuh badan kita yang lain seperti telinga dan hidung, dan inilah pendapat yang dipilih oleh Mazhab Hanafi dan al-Imam al-Bukhari.
Maka, jika mahu keluar daripada khilaf, sebaiknya kita mengelak daripada menyentuh kemaluan selepas berwuduk kerana dibimbangi boleh menaikkan syahwat dan mengeluarkan air mazi atau air mani.
Demikianlah juga jika kita menjadi imam kepada makmum yang bermazhab Maliki atau Syafi’i; adalah lebih baik jika kita mengambil kira pendirian makmum kita untuk mengelakkan masalah pada kemudian hari.
Tetapi, jika makmum dari Mazhab Maliki atau Syafi’i mengetahui yang imam mereka itu bermazhab Hanafi, tidak usahlah mereka memikirkan masalah ini kerana sah atau batal solat sesuatu jama’ah itu bergantung kepada pendirian imam. Jika imam berpendirian bahawa menyentuh kemaluan tidak membatalkan wuduk, maka tetaplah solat jama’ah itu sah.
Wallahua’lam.