SOALAN: Saya mengakui bahawa saya adalah seorang Muslim yang lalai, sering melanggar larangan Allah dan sering meninggalkan solat. Alhamdulillah, kini saya dalam proses untuk berubah menjadi lebih baik. Soalan saya, adakah wajib bagi saya untuk mengqadha’ solat-solat yang terlalu banyak saya abaikan ketika zaman muda dahulu? Pada saat ini, jika saya ada kelapangan masa, manakah yang lebih afdhal bagi saya, sama ada memperbanyakkan solat sunat atau mengqadha’ semua solat yang pernah saya tinggalkan?
JAWAPAN:
Para ‘ulamak bersepakat bahawa solat yang ditinggalkan secara tidak sengaja seperti kerana terlupa atau tertidur, ia wajib diqadha’ berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
مَنْ نَسِيَ صَلاَةً أَوْ نَامَ عَنْهَا فَكَفَّارَتُهَا أَنْ يُصَلِّيَهَا إِذَا ذَكَرَهَا
Maksudnya:
“Barangsiapa yang terlupa untuk solat atau tertidur sehingga terlepas waktu solat, maka kaffarahnya (penebusnya) adalah dengan dia bersolat apabila dia mengingatinya kembali.”
Adapun bagi yang sengaja meninggalkan solat, terdapat dua pendapat bagi masalah ini. Jumhur ‘ulamak berpendapat bahawa dia wajib mengqadha’kan solatnya menggunakan kaedah qiyas al-awla, iaitu jika meninggalkan solat secara tidak sengaja pun perlu diqadha’, inikan pula jika meninggalkannya secara sengaja.
Sebahagian ‘ulamak pula berpendapat bahawa solat yang ditinggalkan secara sengaja tidak boleh diqadha’ kerana tidak terdapat sebarang nas yang menyuruh hal tersebut, sedangkan Allah telah berfirman:
إِنَّ الصَّلاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَوْقُوتًا
Maksudnya:
“Sesungguhnya, solat itu diwajibkan atas setiap orang yang beriman untuk ditunaikan pada waktu yang telah ditetapkan.”
[Surah an-Nisa’ (4): 103]
Maka, mereka berpendapat bahawa tidak boleh mengqiyaskan hadis riwayat Muslim di atas dengan orang yang meninggalkan solat secara sengaja, kerana hadis tersebut menjelaskan bahawa waktu solat bagi orang tidak sengaja meninggalkannya adalah ketika dia mengingatinya.
Adapun orang yang sengaja meninggalkan solat dengan sengaja, tidak disebutkan bilakah masanya dia perlu mengqadha’ solatnya.
Jadi, menurut pendapat kedua ini, kewajipan bagi orang yang meninggalkan solat adalah bertaubat kepada Allah dan menjaga solatnya yang akan datang.
Inilah pendapat sebahagian‘ulamak termasuklah ‘ulamak Mazhab Zahiri, al-Imam al-Hasan al-Basri, al-Imam Abu Bakr al-Humaidi, al-Imam Ibn Taimiyyah, al-Imam Ibn Rajab al-Hanbali, asy-Syaikh Ibn Baz dan asy-Syaikh Ibn ‘Utsaimin.
Maka, terserahlah kepada kita untuk memilih mana-mana pendapat kerana kedua-duanya mempunyai hujah yang tersendiri. Namun, pendapat jumhur itu lebih baik dan lebih selamat.
Wallahu a’lam.