SOALAN: Kenapa kita disuruh untuk berselawat setelah menyebut nama Nabi Muhammad s.a.w. tetapi kita tidak disuruh menyebut "Subhanahu wa Ta’ala, Allahu Akbar" dan sebagainya setelah menyebut nama Allah, sedangkan Allah itu al-Khaliq (pencipta) sedangkan Nabi Muhammad s.a.w. hanyalah makhluk?
JAWAPAN:
Kerana Allah itu al-Khaliq dan Muhammad itu makhluklah kita perlu berselawat kepada baginda, kerana sebagai manusia biasa, baginda mempunyai perasaan.
Baginda berasa sedih apabila diejek, dikeji atau dipersendakan orang lain. Baginda juga perlu menjalani kesusahan dan keperitan hidup sebagai manusia biasa.
Dengan kata lain, baginda sentiasa terkesan dengan keadaan yang berlaku di sekeliling baginda.
Adapun Allah s.w.t., Dia tidak terkesan dengan apa yang dilakukan oleh sekalian makhluk-Nya yang lain.
Kerana itulah Allah tidak perlu untuk didoakan, kerana hakikat selawat ialah doa, yang mana kita meminta kepada Allah supaya melimpahkan keselamatan, kesejahteraan, kebahagiaan dan sebaik-baik ganjaran kepada Nabi Muhammad s.a.w., kerana baginda telah bersusah payah untuk kita.
Hal ini berbeza dengan Allah s.w.t. yang tak pernah berasa susah. Untuk menjadikan alam ini, misalnya, Allah cuma perlu menyebut “Kun” (Jadilah), maka alam ini pun terjadi.
Allah juga tidak berasa sedih dan tidak perlu menjalani sebarang kesusahan seperti makhluk-makhluk-Nya yang lain.
Jadi, setelah Nabi s.a.w. bersusah payah begitu sekali demi kita, apa balasan kita kepadanya?Kalau kepada orang lain yang berjasa kepada kita, kita pasti berterima kasih kepadanya sebagai tanda mengenang budi, maka demikianlah juga yang seharusnya kita lakukan kepada baginda.
Hanyasanya Nabi s.a.w. telah wafat. Maka, Allah s.w.t. pun memerintahkan kita supaya berselawat kepada baginda untuk mengajar kita menghargai segala jasa dan penat lelah perjuangan baginda dalam menegakkan syi’ar Islam demi kemaslahatan seluruh alam.
Meskipun demikian, dalam amalan seharian, tetap juga kita menyebut “Subhanhu wa Ta’ala” atau “’Azza wa Jalla” selepas menyebut nama Allah, sebagai tanda adab kita kepada-Nya untuk menyatakan kelebihan dan ketinggian-Nya, tetapi itu bukanlah sebuah doa kerana Allah s.w.t. tidak berhajat kepada doa.
Wallahu a’lam.