SOALAN: Kenapa kebanyakan tareqat mendakwa yang mereka mempunyai sanad melalui jalur Hassan al-Basri r.h.m. daripada ‘Ali bin Abu Tholib r.a.? Kenapa tidak ada jalur lain?
JAWAPAN:
Secara ringkasnya, hal ini terjadi kerana menurut mereka, ‘Ali bin Abu Tholib r.a. mendapat ilmu khusus daripada Nabi s.a.w. yang tidak baginda berikan kepada mana-mana sahabat yang lain.
Oleh kerena ilmu itu khusus, ia hanya boleh diajar kepada orang yang benar-benar layak sahaja. Malangnya, beliau tidak menemui sesiapa pun pada zamannya yang layak untuk mewarisi ilmu tersebut melainkan Hassan al-Basri r.h.m.
Kerana itulah para pengikut tareqat mendakwa yang sanad ilmu mereka pasti melalui jalur Hassan al-Basri r.h.m. daripada ‘Ali r.a.
Masalahnya, Hassan al-Basri r.h.m. tidak sempat bertemu dengan ‘Ali r.a. Jadi, bagaimana ‘Ali r.a. boleh menurunkan ilmunya kepada Hassan al-Basri r.h.m.?
Untuk menjawab persoalan tersebut, golongan tareqat mendakwa yang Hassan al-Basri r.h.m. menerima ilmu khusus tersebut daripada ‘Ali r.a. secara rohani.
Meskipun jawapan tersebut tidak berasas, ia tetap diyakini sebagai benar oleh para pengikut tareqat dan dakwaan yang sama terus “dikitar semula” oleh guru-guru tareqat sehingga kini.
Misalnya, ada seorang tokoh Brelvi di Pakistan yang digelar sebagai Syaikhul Islam oleh para pengikutnya membuat dakwaan kononnya dia belajar dengan al-Imam Abu Hanifah secara rohani di kuburnya selama 8 tahun.
Jika dakwaan seperti ini dibenarkan, maka punahlah tradisi ilmu dalam Islam kerana semua orang boleh mendakwa apa sahaja tanpa mengemukakan sebarang bukti, walhal Salafu Soleh dahulu berpenat-lelah mengembara semata-mata untuk mendapatkan ilmu daripada ulama yang masih hidup.
Tidak pula mereka mendakwa yang mereka mendapat ilmu daripada ulama yang telah wafat secara rohani sebagaimana yang dicanang oleh para pengikut tareqat.
Sebenarnya, jika diandaikan Hassan al-Basri r.h.m. pernah bertemu dengan ‘Ali r.a. sekalipun, adalah tetap tidak masuk akal untuk ‘Ali r.a. mewarisi ilmu tersebut kepada Hassan al-Basri sahaja dalam keadaan beliau mempunyai ramai lagi murid yang lain.
Kalau benarlah hanya Hassan al-Basri r.h.m. sahaja yang layak mewarisi ilmu khusus tersebut daripada ‘Ali r.a. sedangkan mereka adalah generasi Salafu Soleh, sebaik-baik generasi dalam Islam, kenapa pada hari ini, ilmu tareqat ini boleh diperturunkan sewenang-wenangnya kepada masyarakat awam sehingga terdapat jutaan pengikut tareqat di seluruh dunia?
Adakah golongan muta’akkhirul muta’akkhirin ini lebih layak untuk menerima ilmu khusus yang layak diperturunkan oleh Nabi s.a.w. kepada ‘Ali r.a. seorang sahaja? Bagaimana dengan para sahabat lain? Adakah para pengikut tareqat lebih berkelayakan berbanding para sahabat?
Jika dakwaan ini dibenarkan, ertinya telah gagallah Nabi s.a.w. untuk melahirkan murid-murid yang layak menerima ilmu khusus daripada baginda, sedangkan guru-guru tareqat yang datang kemudian berjaya melahirkan jutaan murid yang layak dari dahulu sehingga kini.
Sebab itulah kita berkata yang semua dakwaan ini tidak lebih daripada sebuah kekarutan.
Wallahu a'lam.