SOALAN: Apakah kelebihan istighfar dan hikmahnya kepada manusia?
JAWAPAN:
Istighfar (memohon keampunan kepada Allah) sememangnya mempunyai kelebihan yang sangat besar sebagaimana yang termaktub di dalam al-Quran dan as-Sunnah.
Para ‘ulamak juga bersepakat bahawa istighfar boleh dilakukan untuk diri kita sendiri dan orang lain sama ada yang masih hidup mahupun yang telah meninggal dunia. Hal ini berbeza dengan amalan mensedekahkan pahala bacaan al-Quran yang masih mempunyai pertikaian dalam kalangan ‘ulamak.
Allah s.w.t. sangat suka dengan amalan ini kerana padanya terkandung pengakuan daripada manusia betapa kita adalah hamba-Nya yang lemah lagi hina sehingga seringkali terjerumus dalam dosa biar sebaik mana pun kita.
Dan pada hakikatnya, itulah hikmahnya kenapa Allah menjadikan manusia sebagai makhluk yang berpotensi untuk melakukan dosa. Kerana jika tidak, bagaimana kita mahu beristighfar dan untuk apa lagi kita beristighfar?
Tetapi, ini tidaklah bererti yang kita perlu sengaja melakukan dosa. Sebaliknya, ia menjadi peringatan kepada kita supaya tidak mensucikan diri sendiri.
Wallahu a’lam.