SOALAN: Adakah menjadi kesalahan bagi seorang imam untuk menunggu makmum seperti imam sengaja memanjangkan ruku’ atau tahiyyat akhir supaya makmum dapat solat berjama’ah bersama-sama dengannya?
JAWAPAN:
Para ‘ulamak berbeza pendapat dalam masalah ini. Menurut qaul qadim (pendapat lama) al-Imam asy-Syafi’i, adalah mustahab (dianjurkan) bagi seorang imam untuk menunggu makmum. Tetapi, beliau kemudiannya mengubah pendapatnya kepada makruh.
Selain itu, ada juga ‘ulamak seperti al-Imam Muhammad Hassan asy-Syaibani, salah seorang murid kanan kepada al-Imam Abu Hanifah yang berpendapat bahawa boleh jatuh kafir bagi mana-mana imam yang sengaja menunggu makmumnya kerana tingginya jawatan atau kedudukan makmum tersebut di sisi manusia.
Maka, adalah lebih baik jika seseorang imam itu tidak menunggu makmumnya supaya dapat keluar daripada khilaf dan mengelakkan fitnah yang mungkin berlaku pada kemudian hari seperti makmum yang sengaja datang lewat ke masjid, walhal pada asalnya makmum yang perlu menunggu imam; bukan imam yang perlu menunggu makmum.
Wallahu a’lam.