SOALAN: Apakah hukum memegang al-Quran dan menyentuh ayat suci al-Quran tanpa wudhuk?
JAWAPAN:
Hukumnya adalah haram di sisi Mazhab Syafi’i. Tetapi, al-Imam al-Bukhari berpendapat yang hukumnya adalah harus dan tidak berdosa. Namun begitu, beliau juga berpendapat yang memegang al-Quran dengan berwudhuk itu lebih baik dan lebih beradab.
Maka, jika kita ingin beramal dengan pendapat al-Imam al-Bukhari, sekurang-kurangnya kita perlu tahu yang ini adalah pendapat beliau.
Sesungguhnya kelonggaran untuk beramal dengan pendapat fiqh dari mazhab yang pelbagai ini seharusnya ditimbang melalui neraca maslahah iaitu mana satukah pendapat yang lebih baik dan lebih menguntungkan kita.
Misalnya, sekiranya seseorang itu mempunyai masalah untuk menahan wudhuknya seperti dia mempunyai penyakit angin sehingga dia sangat mudah terkentut, maka ada baiknya untuk dia berpegang dengan pendapat al-Imam al-Bukhari.
Jika tidak, dia perlu sentiasa memperbaharui wudhuknya jika dia ingin membaca al-Quran.
Kalau mengikut Mazhab Maliki pula, jika seseorang itu memang mempunyai penyakit mudah terkentut, maka jika dia tetap terkentut selepas berwudhuk, wudhuknya masih dikira sah dan tidak batal sehingga dia tetap boleh meneruskan solatnya tanpa perlu mengambil wudhuk semula.
Demikianlah pengetahuan tentang mazhab yang pelbagai boleh memudahkan urusan kita dalam beribadah.
Wallahu a’lam.