SOALAN: Apakah hukum mengirim salam? Jika ia dibenarkan, bagaimana caranya untuk mengirim salam dan menjawabnya?
JAWAPAN:
Mengirim salam termasuk dalam sunnah yang disyari’atkan dalam Islam, kerana terdapat banyak hadis yang menunjukkan bahwa ia diamalkan sejak zaman Nabi s.a.w. lagi.
Antaranya adalah apa yang diriwayatkan oleh al-Imam Abu Daud dengan sanadnya daripada Ghalib, katanya:
إِنَّا لَجُلُوسٌ بِبَابِ الْحَسَنِ إِذْ جَاءَ رَجُلٌفَقَالَ حَدَّثَنِي أَبِي عَنْ جَدِّي قَالَ بَعَثَنِي أَبِي إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ ائْتِهِ فَأَقْرِئْهُ السَّلاَمَ . قَالَ فَأَتَيْتُهُ فَقُلْتُ إِنَّ أَبِي يُقْرِئُكَ السَّلاَمَ . فَقَالَ " عَلَيْكَ وَعَلَى أَبِيكَ السَّلاَمُ " .
Maksudnya: Sesungguhnya, ketika kami sedang duduk di pintu rumah al-Hasan, tiba-tiba datang seorang lelaki seraya berkata, “Telah menceritakan kepadaku ayahku, daripada datuknya, katanya, ‘Ayahku telah mengutuskanku kepada Rasulullah s.a.w. sambil berpesan, “Datangilah baginda dan sampaikanlah salamku kepadanya.” Maka, aku pun mendatangi baginda seraya berkata, ‘Sesungguhnya, ayahku telah mengirimkan salam kepadamu.’ Lalu, baginda menjawab:
عَلَيْكَ وَعَلَى أَبِيكَ السَّلاَمُ
‘Kesejahteraan buatmu dan buat ayahmu.’
Selain itu, Jibril a.s. juga pernah mengirimkan salamnya kepada ‘A’isyah r.a.ha. melalui Nabi s.a.w., sebagaimana yang diceritakan oleh ‘A’isyah r.a.ha. sendiri dengan berkata:
قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم " يَاعَائِشُ هَذَا جِبْرِيلُ يَقْرَأُ عَلَيْكِ السَّلاَمَ " . قَالَتْ فَقُلْتُ وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ . قَالَتْ وَهُوَ يَرَى مَا لاَ أَرَى
Maksudnya: “Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, ‘Wahai ‘A’isy, ini Jibril. Beliau mengucapkan salam kepadamu.’” Kata ‘A’isyah,“Maka, aku pun berkata:
وَعَلَيْهِ السَّلاَمُ وَرَحْمَةُ اللَّهِ
‘Kesejahteraan dan rahmat Allah buatnya.’”
Kata ‘A’isyah lagi, “Baginda melihat apa yang aku tidak nampak (iaitu Jibril).”
Kedua-dua buah hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. mengiktiraf perbuatan mengirimkan salam. Maka, amalan ini termasuk dalam sunnah taqririyyah.
Hanyasanya, kiriman tersebut hanya dilakukan kepada orang yang masih hidup; bukan kepada orang yang telah meninggal dunia, sebagaimana yang dilakukan oleh sebahagian masyarakat yang mengirimkan salam kepada Nabi s.a.w. sedangkan baginda telah wafat.
Dan cara yang terbaik untuk menjawab salam yang dikirimkan kepada kita adalah dengan menjawab salam kepada orang yang membawa kiriman salam tersebut dan pengirimnya, sebagaimana yang dicontohkan oleh Nabi s.a.w., seperti menyebut:
عَلَيْكَ وَعَلَيْهِ أَبِيكَ السَّلاَمُ
Maksudnya: “Kesejahteraan buatmu dan buatnya.”
Wallahu a’lam.