SOALAN: Apakah hukum dan cara untuk mengamalkan Hadis Sahih, Hasan, Dha’if dan Maudhu’?
JAWAPAN:
Secara umumnya, segala pendapat melibatkan hukum-hakam yang telah diputuskan oleh para aimmah mujtahidin seperti imam-imam mazhab, semuanya bersandarkan kepada hadis-hadis bertaraf Sahih dan Hasan sahaja. Mereka tidak sama sekali berhujah dengan hadis-hadis dha’if, jauh sekali maudhu’ (palsu).
Namun begitu, Hadis Dha’if masih boleh diamalkan dengan syarat ia adalah Hadis Dha’if Khafif (Dha’if Ringan), berkaitan dengan kelebihan sesuatu amalan yang telah disyari’atkan melalui al-Quran atau as-Sunnah, dan ia diamalkan secara bersendirian, seperti mengamalkan doa-doa yang mempunyai maksud yang baik, antaranya doa:
اللَّهُمَّ اجْعَلْنِي شَكُورًا وَاجْعَلْنِي صَبُورًا وَاجْعَلْنِي فِي عَيْنَيَّ صَغِيرًا وَفِي أَعْيُنِ النَّاسِ كَبِيرًا
Maksudnya: “Ya Allah ya Tuhan kami, jadikan aku seorang yang sentiasa bersyukur, jadikanlah aku seorang yang penyabar, jadikanlah aku berasa kecil pada pandanganku dan jadikanlah aku besar pada pandangan manusia.”
Hadis ini dha’if, tetapi boleh diamalkan kerana kita disuruh berdoa mengikut hajat yang kita mahu dan maksudnya pula tidak bercanggah dengan syara’.
Malangnya, pada hari ini, amalan-amalan yang sabit daripada Hadis-Hadis Dha’if (bahkan Maudhu’) dijadikan budaya, sehingga apabila ada yang tidak mengamalkannya, dia akan dipandang serong. Inilah yang terjadi apabila Hadis Dha’if diamalkan tanpa disiplin dan syarat yang telah ditetapkan oleh para ‘ulamak mu’tabar.
Adapun Hadis Maudhu’, ia tidak boleh diamalkan dan tidak juga boleh dijadikan sandaran hujah sama sekali. Jika kita mengamalkannya atau berhujah dengannya, kita akan beroleh dosa. Sebaliknya, Hadis Maudhu’ hanya boleh disampaikan kepada masyarakat untuk menjelaskan statusnya kepada mereka.
Wallahu a’lam.