SOALAN: Di dalam Sunan Abi Daud, terdapat sebuah hadis yang menceritakan kisah isteri Hilal berzina. Apabila dihadapkan kepada Nabi s.a.w., Hilal dan isterinya berli’an (melakukan sumpah laknat). Lalu, didapati yang isteri Hilal itu menyembunyikan perkara sebenar. Jadi, adakah hadis ini menunjukkan bahawa ada sahabat yang berperangai buruk dan tidak ikhlas?
JAWAPAN:
Al-Imam Abu Daud telah meriwayatkan dengan sanadnya sebuah hadis yang agak panjang kisah Hilal bin Umayyah r.a. melihat seorang lelaki menggauli isterinya ketika beliau baru pulang dari kampung halamannya.
Hilal tidak mengambil sebarang tindakan terhadap lelaki tersebut, mahupun isterinya. Sebaliknya, beliau melaporkan hal tersebut kepada Nabi s.a.w. Lalu, Allah s.w.t. menurunkan ayat 6 hingga 10 dari Surah an-Nur yang berkaitan dengan li’an (sumpah laknat antara suami dan isteri):
وَالَّذِينَ يَرْمُونَ أَزْوَاجَهُمْ وَلَمْ يَكُن لَّهُمْ شُهَدَاءُ إِلَّا أَنفُسُهُمْ فَشَهَادَةُ أَحَدِهِمْ أَرْبَعُ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ ۙ إِنَّهُ لَمِنَ الصَّادِقِينَ (6) وَالْخَامِسَةُ أَنَّ لَعْنَتَ اللَّهِ عَلَيْهِ إِن كَانَ مِنَ الْكَاذِبِينَ (7) وَيَدْرَأُ عَنْهَا الْعَذَابَ أَن تَشْهَدَ أَرْبَعَ شَهَادَاتٍ بِاللَّهِ ۙ إِنَّهُ لَمِنَ الْكَاذِبِينَ (8) وَالْخَامِسَةَ أَنَّ غَضَبَ اللَّهِ عَلَيْهَا إِن كَانَ مِنَ الصَّادِقِينَ (9) وَلَوْلَا فَضْلُ اللَّهِ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَتُهُ وَأَنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ حَكِيمٌ (10)
Maksudnya: “Orang-orang yang melemparkan (tuduhan zina kepada) isteri-isteri mereka, sedang mereka tidak mempunyai saksi-saksi melainkan diri mereka sahaja, maka hendaklah mereka bersaksi atas diri mereka sendiri sebanyak empat kali dengan (bersumpah atas nama) Allah bahawa dirinya benar-benar termasuk dalam kalangan orang-orang yang benar, dan pada kali kelimanya dia hendaklah meminta laknat Allah atas dirinya sendiri jika dia termasuk dalam kalangan orang-orang yang berdusta.
Dan untuk (isteri) menghindarkan hukuman daripada dirinya, dia juga hendaklah bersaksi atas dirinya sendiri dengan (bersumpah atas nama) Allah bahawa suaminya benar-benar termasuk dalam kalangan orang-orang yang berdusta, dan pada kali kelimanya dia hendaklah meminta (supaya ditimpakan) kemurkaan Allah atas dirinya sendiri jika suaminya itu termasuk dalam kalangan orang-orang yang berkata benar.
Dan kalaulah bukan kerana limpah kurnia Allah dan rahmat-Nya atas kalian, (nescaya kalian berada dalam kesusahan) dan ingatlah bahawasanya Allah Maha Menerima Taubat lagi Maha Bijaksana.”
Selepas kedua-duanya saling melaknat, Nabi s.a.w. menceraikan mereka berdua. Mereka juga tidak dibenarkan untuk berkahwin semula selama-lamanya dan jika isteri Hilal mengandung, anak yang akan dilahirkan itu nanti tidak boleh dinasabkan kepada Hilal. Isteri Hilal juga tidak boleh dituduh berzina dan anaknya nanti tidak boleh dihukum sebagai anak zina. Hilal juga tidak berkewajipan untuk memberikan sebarang nafkah kepada bekas isterinya dan anak yang lahir nanti.
Kemudian, Nabi s.a.w. bersabda:
إِنْ جَاءَتْ بِهِ أُصَيْهِبَ أُرَيْصِحَ أُثَيْبِجَ حَمْشَ السَّاقَيْنِ فَهُوَ لِهِلاَلٍ وَإِنْ جَاءَتْ بِهِ أَوْرَقَ جَعْدًا جُمَالِيًّا خَدَلَّجَ السَّاقَيْنِ سَابِغَ الأَلْيَتَيْنِ فَهُوَ لِلَّذِي رُمِيَتْ بِهِ
Maksudnya: “Jika nanti dia (isteri Hilal) membawakan anak dengan rambut keperangan, kecilnya jarak antara kedua-dua pehanya, perut yang lebar dan kecil kedua-dua belah betisnya, maka dia adalah anak Hilal. Tetapi, jika dia nanti membawakan anak berkulit sawo matang, berambut kerinting dan besar anggota badannya, maka dia adalah anak orang yang dituduh berzina.”
Kemudian, setelah anak itu lahir, ternyata dia mempunyai ciri-ciri kedua yang disebutkan oleh Nabi s.a.w. di atas. Maka, baginda pun bersabda:
لَوْلاَ الأَيْمَانُ لَكَانَ لِي وَلَهَا شَأْنٌ
Maksudnya: “Kalaulah bukan kerana telah dibuat sumpah (laknat itu), nescaya ada urusan (hukuman hudud yang perlu diselesaikan) antara diriku dengan dirinya.”
HIKMAH
1. Hadis-hadis seperti ini menunjukkan bahawa para sahabat juga adalah manusia biasa yang boleh tergelincir ke arah kemaksiatan.
Tetapi, hal ini tidak bererti yang sahabat itu terus berada dalam kemaksiatan sehinggalah dia meninggal dunia, kerana kita tidak tahu boleh jadi yang dia telah bertaubat kepada Allah s.w.t. tanpa pengetahuan orang lain.
Lalu, jika Allah menerima taubatnya, maka dosanya itu pun terampun, sehingga tidak ada sebarang keperluan untuk kita terus mengherdiknya.
2. Hadis ini juga menerangkan tatacara untuk melakukan sumpa hli’an iaitu:
i. Si suami perlu bersumpah atas nama Allah sebanyak empat kali bahawa dia bercakap benar dan pada kali kelima, dia perlu bersumpah bahawa Allah akan melaknat dirinya sendiri jika dia menipu;
ii. Kemudian, si isteri pula perlu bersumpah atas namaA llah sebanyak empat kali bahawa suaminya berdusta dan pada kali kelima, dia perlu bersumpah bahawa Allah akan melaknat dirinya sendiri jika suaminya bercakap benar.
3. Hadis ini juga menegaskan bahawa sumpah li’an menghalang daripada pelaksanaan hukum hudud dan sebarang hukuman dunia ke atas pelakunya.
4. Hadis ini juga menerangkan kedudukan pasangan suami dan isteri setelah melakukan sumpah li’an iaitu mereka diharamkan daripada berkahwin semula selama-lamanya secara mutlaq.
5. Akhirnya, semua ini menjadi pengajaran kepada kita tentang tatacara pelaksanaan hukum-hakam dalam Islam.
Wallahu a'lam.