SOALAN: Saya mendengar ada seseorang mendakwa bahawa terdapat hadis yang menyatakan memotong kuku pada Hari Selasa akan mendapat penyakit kemurungan. Benarkah dakwaannya itu?
JAWAPAN:
Larangan ini memang ada disebutkan di dalam sebahagian kitab, tetapi ia tidak mempunyai sebarang asal daripada sunnah. Sebaliknya, ia hanya disebutkan di dalam hadis-hadis palsu.
Antaranya, dikatakan bahawa seorang lelaki telah bertemu dengan Khalifah ‘Umar bin al-Khattab r.a. seraya bertanya kepadanya, “Benarkah Nabi s.a.w. bersabda bahawa barangsiapa yang memotong kuku pada Hari Selasa, dia akan mati dibunuh?”‘ Umar r.a. kemudiannya bertanya kepadanya, adakah dia memotong kuku pada Hari Selasa? Lelaki itu menjawab, “Ya.” Maka, ‘Umar pun menikam perut lelaki tersebut dengan pedangnya sehingga dia meninggal dunia.
Meskipun hadis ini jelas kepalsuannya kerana tidak masuk akal sama sekali hal tersebut akan dilakukan oleh sahabat yang agung seperti ‘Umar r.a., tetapi tetap ada yang mempercayainya, bak kata pepatah ‘Arab:
لِكُلِّ سَاقِطٍ لَاقِط
Maksudnya:
“Setiap sesuatu yang terjatuh, pasti ada yang memungutnya.”
Maka, diharuskan untuk kita memotong kuku pada sebarang hari dan waktu.
Wallahu a’lam.