SOALAN: Mohon pandangan tentang fenomena ketaksuban terhadap golongan Habaib Sufi yang melanda masyarakat Islam pada hari ini.
JAWAPAN:
Sejak dari awal lagi, para ‘ulamak Ahlus Sunnah wal Jama’ah menolak pengkultusan terhadap tokoh-tokoh agama tertentu. Kerana itulah mereka menghukum hadis berikut sebagai maudhu’ (palsu):
أَنَا مَدِينَةُ الْعِلْمِ وَعَلِيٌّ بَابُهَا فَمَنْ أَرَادَ الْمَدِينَةَ فَلْيَأْتِ الْبَابَ
Maksudnya:
“Aku (Nabi s.a.w.) adalah kota ilmu sedang ‘Ali adalah pintunya. Maka, barangsiapa yang hendak (memasuki) kota ilmu itu, dia hendaklah mendatangi pintunya.”
Meskipun al-Imam al-Hakim mensahihkan hadis ini, tetapi para ‘ulamak lain seperti al-Imam Yahya bin Ma’in (w: 233H) di dalam Su’alat Ibn al-Junaid (185), al-Imam al-‘Uqaili (w: 322H) di dalam ad-Dhu’afa’ al-Kabir (3/150), al-Imam Ibn al-‘Arabi (w: 543H) di dalam Ahkam al-Quran (3/86), al-Imam Ibn al-Jauzi (w: 597H) di dalam al-Maudhu’at (2/114), al-Imam an-Nawawi (676H) di dalam Tahzib al-Asma’ wa al-Lughat (1/348), al-Imam az-Zahabi (w: 748H) di dalam Mizan al-I’tidal (1/415), al-Imam as-Sakhawi (w: 902) dan ramai lagi menghukumnya sebagai maudhu’ (palsu), antaranya kerana ia menatijahkan segala ajaran agama yang Nabi s.a.w. perturunkan kepada para sahabat lain menjadi sia-sia, disebabkan kononnya, ilmu agama hanya boleh diambil melalui ‘Ali bin Abu Tholib r.a. sahaja.
Demikianlah juga halnya dengan pemujaan golongan Haba’ib yang seolah-olah mahu menggambarkan
bahawa daripada mereka sahaja ilmu agama boleh diambil, walhal kebanyakan hadis yang sampai kepada kita bukanlah melalui jalur ‘Ali bin Abu Tholib r.a., sebaliknya daripada para sahabat lain seperti Abu Hurairah r.a. dan ‘A’isyah r.a.ha.
Hal ini menjadi bukti bahawa Ahlus Sunnah wal Jama’ah mengiktiraf penerimaan ilmu daripada sesiapa
sahaja yang amanah, meskipun dia bukanlah keturunan ‘Ali bin Abu Tholib r.a.
Jadi, kenapa amalan-amalan seperti zikir dan selawat yang diajar oleh golongan Habaib Sufi ini yang diwar-warkan kepada masyarakat, melebihi apa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. sendiri? Adakah ini satu teladan yang bijak daripada anak cucu baginda?
Tidak cukup dengan itu, pada setiap tahun, ada pula dalam kalangan Haba’ib Sufi ini yang mengemaskini amalan-amalan baharu, setelah kita semua bersepakat bahawa sunnah Nabi s.a.w. itu jauh lebih baik daripada ajaran sesiapa pun di atas muka bumi ini.
Jadi, bagaimana mungkin Habaib Sufi ini boleh datang dengan amalan-amalan baharu pada setiap tahun dengan fadhilat yang lebih besar daripada apa yang diajarkan oleh Nabi s.a.w. sendiri?
Benar, kita diperintahkan supaya mencintai keluarga dan keturunan Nabi s.a.w. yang telah kita tunjukkan dengan berselawat kepada mereka. Tetapi, melebihkan ajaran mereka berbanding apa yang dititipkan sendiri oleh Nabi s.a.w. adalah sebuah keterlanjuran dalam percintaan.
Nenek moyang kita dahulu pun tidak sampai ke tahap menyanyi, bergendang dan menari di dalam masjid sebagaimana yang diajarkan oleh para Habaib Sufi ini. Mereka juga masih mampu membezakan antara selawat dengan qasidah dan tahu menjaga adab di dalam masjid.
Maka, kita berharap mudah-mudahan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya sebelum nasi menjadi bubur, sebagaimana virus Syi’ah yang telah membarah dalam kalangan masyarakat dan masih belum berjaya ditangani sepenuhnya sehingga ke hari ini.
Meskipun telah ramai yang menyedari kesesatan mereka, tetapi penguatkuasaannya masih kurang sehingga ajaran mereka masih dibiarkan di kebanyakan tempat di Malaysia. Hal inilah yang membimbangkan kita kerana, sebagaimana yang diungkapkan dalam bidalan Arab:
لكل ساقط لاقط
Maksudnya:
“Setiap yang gugur itu, pasti ada yang memungutnya.”
Mudah-mudahan masyarakat akan kembali mengukur ketokohan seseorang itu melalui ilmu dan jasanya seperti apa yang telah diwarisi oleh al-Imam al-Bukhari dan al-Imam an-Nawawi, meskipun mereka berdua bukanlah termasuk dalam kalangan keturunan Nabi s.a.w.
Wallahu a’lam.