SOALAN: Apakah jawapan yang tepat bagi persoalan "Di manakah Allah?"
JAWAPAN:
Al-Imam Muslim telah meriwayatkan sebuah hadis dengan sanadnya daripada Mu’awiyah bin al-Hakam as-Sulami, katanya:
قَالَ وَكَانَتْ لِي جَارِيَةٌ تَرْعَى غَنَمًا لِيقِبَلَ أُحُدٍ وَالْجَوَّانِيَّةِ فَاطَّلَعْتُ ذَاتَ يَوْمٍ فَإِذَا الذِّيبُ قَدْ ذَهَبَ بِشَاةٍ مِنْ غَنَمِهَا وَأَنَا رَجُلٌ مِنْ بَنِي آدَمَ آسَفُ كَمَا يَأْسَفُونَ لَكِنِّي صَكَكْتُهَا صَكَّةً فَأَتَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم فَعَظَّمَ ذَلِكَ عَلَىَّ قُلْتُ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَفَلاَ أُعْتِقُهَا قَالَ " ائْتِنِي بِهَا " . فَأَتَيْتُهُ بِهَا فَقَالَ لَهَا " أَيْنَ اللَّهُ " . قَالَتْ فِي السَّمَاءِ . قَالَ " مَنْ أَنَا " . قَالَتْ أَنْتَ رَسُولُ اللَّهِ . قَالَ " أَعْتِقْهَا فَإِنَّهَا مُؤْمِنَةٌ " .
Maksudnya: “Aku pernah memiliki seorang hamba perempuan yang menjaga kambing untukku di pinggir Bukit Uhud dan al-Jawwaniyyah. Lalu, pada suatu hari, ketika aku memeriksanya, tiba-tiba serigala melarikan seekor kambing dari gembalaannya, sedang aku hanyalah seorang lelaki biasa dari keturunan Adam yang mempunyai perasaan marah sama seperti orang lain. Tetapi, (aku melampaui batas sehingga) aku menamparnya sekali.
Maka, aku pun mendatangi Rasulullah s.a.w. dan baginda menganggap yang perbuatanku itu adalah kesalahan yang besar. Aku pun berkata, ‘Wahai Rasulullah, patutkah aku membebaskannya?’ Baginda menjawab, ‘Bawakan dia kepadaku.’
Maka, aku pun mendatangi baginda bersama-sama dengan hamba perempuan itu. Lalu, baginda bertanya kepadanya, ‘Di manakah Allah?’ Dia menjawab, ‘Di atas langit.’ Baginda bertanya lagi, ‘Siapakah aku?’ Dia menjawab, ‘Engkau adalah Rasulullah.’ Baginda pun bersabda, ‘Bebaskanlah dia kerana sesungguhnya, dia adalah seorang wanita yang beriman.’”
Berdasarkan hadis ini dan dalil-dalil lain yang semakna dengannya, Salafu Soleh beriman bahawa Allah
berada di atas langit tanpa menyamakan Allah dengan makhluk.
Hal ini sama seperti sabda Nabi s.a.w.:
يَنْزِلُ رَبُّنَا تَبَارَكَ وَتَعَالَى كُلَّ لَيْلَةٍ إِلَى السَّمَاءِ الدُّنْيَا حِينَ يَبْقَى ثُلُثُ اللَّيْلِ الآخِرُ
Maksudnya: “Tuhan kita Yang Maha Berkat lagi Maha Tinggi sentiasa turun pada setiap malam ke langit dunia tatkala berbaki sepertiga malam yang terakhir.”
Hadis ini tidak bererti yang Allah turun dari atas ke bawah, kerana ia adalah kaifiat turunnya makhluk. Tetapi, kerana Allah telah menyatakan bahawa Dia turun, maka Salafu Soleh pun beriman bahawa Allah benar-benar turun ke langit dunia dengan sifat yang layak dengan-Nya tanpa menyamakan-Nya sama sekali dengan makhluk.
Maka, demikianlah apabila Allah berfirman yang Dia berada di atas. Ertinya, Allah benar-benar berada di atas, tetapi tidak serupa dengan makhluk.
Khalaf pula menakwilkan hadis ini. Maka, menurut mereka, ungkapan “Allah berada diatas langit” itu bermaksud Allah mulia dan tinggi kedudukan-Nya.
Antara dua pendapat ini, pendirian Salafu Soleh adalah lebih baik, kerana Nabi s.a.w. sendiri tidak membahaskan hal ini dan tidak juga bertanyakan kembali kepada hamba tersebut, “Apakah maksud Allah berada di atas langit?”
Hal ini menunjukkan bahawa keimanan pada tahap ini sudah memadai, kerana jawapan hamba perempuan tersebut telah melazimi sifat-sifat yang layak bagi Allah seperti Maha Mulia, Maha Melihat dan Maha Berkuasa atas sekalian hamba-Nya.
Adapun kepercayaan bahawa Allah berada di mana-mana, jika yang dimaksudkan daripada ungkapan ini ialah Zat Allah berada di setiap tempat, ia adalah kepercayaan yang salah. Tetapi, jika yang dimaksudkannya adalah ilmu dan kekuasaan Allah berada di setiap tempat, maka inilah fahaman yang benar.
Wallahu a’lam.
TAMBAHAN
Al-Imam at-Tirmizi ada menukilkan pendirian Salafu Soleh terhadap masalah ini di dalam Jami’nya sebagaimana kata beliau:
عِلْمُ اللَّهِ وَقُدْرَتُهُ وَسُلْطَانُهُ فِي كُلِّ مَكَانٍ وَهُوَ عَلَى الْعَرْشِ كَمَا وَصَفَ فِي كِتَابِهِ
Maksudnya: “Ilmu Allah, kudrat-Nya dan kekuasaan-Nya berada di setiap tempat, sedang Dia berada di atas ‘Arasy sebagaimana yang telah Dia sifatkan (tentang Dirinya Sendiri) di dalam Kitab-Nya (al-Quran).”