SOALAN: Ada penceramah di TV menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. tidak mempunyai bayang-bayang. Benarkah begitu?
JAWAPAN:
Dakwaan tersebut tidak benar. Meskipun terdapat banyak riwayat yang menceritakan hal tersebut, tetapi semuanya tidak sahih dan tidak layak untuk dijadikan hujah.
Sebaliknya, terdapat hadis sahih yang secara sorih menyebut bahawa Nabi s.a.w. mempunyai bayang-bayang, seperti apa yang diriwayatkan oleh al-Imam Ibn Khuzaimah dengan sanadnya:
نَا بَحْرُ بْنُ نَصْرِبْنِ سَابَقٍ الْخَوْلانِيُّ، نَا ابْنُ وَهْبٍ، حَدَّثَنِي مُعَاوِيَةُ بْنُ صَالِحٍ، عَنْ عِيسَى بْنِ عَاصِمٍ، عَنْ زِرِّ بْنِ حُبَيْشٍ، عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ: صَلَّيْنَا مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلاةَ الصُّبْحِ، قَالَ: فَبَيْنَمَا هُوَ فِي الصَّلاةِ مَدَّ يَدَهُ، ثُمَّ أَخَّرَهَا، فَلَمَّا فَرَغَ مِنَ الصَّلاةِ، قُلْنَا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، صَنَعْتَ فِي صَلاتِكَ هَذِهِ مَا لَمْ تَصْنَعْ فِي صَلاةٍ قَبْلَهَا، قَالَ: إِنِّي رَأَيْتُ الْجَنَّةَ قَدْ عُرِضَتْ عَلَيَّ، وَرَأَيْتُ فِيهَا. قُطُوفُهَا دَانِيَةٌ، حَبُّهَا كَالدُّبَّاءِ، فَأَرَدْتُ أَنْ أَتَنَاوَلَ مِنْهَا فَأُوحِيَ إِلَيْهَا أَنِ اسْتَأْخِرِي، فَاسْتَأْخَرَتْ، ثُمَّ عُرِضَتْ عَلَيَّ النَّارُ، بَيْنِي وَبَيْنَكُمْ حَتَّى رَأَيْتُ ظِلِّيَ وَظِلَّكُمْ، فَأَوْمَأْتُ إِلَيْكُمْ أَنِ اسْتَأْخَرُوا، فَأُوحِيَ إِلَيَّ أَنْ أَقِرَّهُمْ، فَإِنَّكَ أَسْلَمْتَ وَأَسْلَمُوا، وَهَاجَرْتَ وَهَاجَرُوا، وَجَاهَدْتَ وَجَاهَدُوا، فَلَمْ أَرَ لِي عَلَيْكُمْ فَضْلا إِلا بِالنُّبُوَّةِ.
Maksudnya:
Telah menceritakan kepada kami Nasr bin Sabiq al-Khaulani, telah menceritakan kepada kami Ibn Wahb, telah menceritakan kepadaku Mu’awiyah bin Solih, daripada ‘Isa bin ‘Asim, daripada Zir bin Hubaisy, daripada Anas bin Malik, katanya:
Kami telah bersolat Subuh bersama-sama dengan Rasulullah s.a.w. Tiba-tiba, ketika baginda sedang bersolat, baginda melunjurkan tangannya, kemudiannya menariknya semula. Lalu, setelah selesai bersolat, kami berkata, “Wahai Rasulullah, engkau telah melakukan di dalam solatmu ini sesuatu yang belum pernah engkau lakukan di dalam mana-mana solat sebelum ini.”
Baginda pun bersabda, “Sesungguhnya, aku telah melihat syurga yang telah ditayangkan kepadaku. Aku melihat di dalamnya ada buah-buahan yang sangat dekat (denganku). Bentuknya seakan-akan labu air. Maka, aku teringin untuk memakan sedikit daripadanya. Tiba-tiba, diwahyukan kepadaku supaya aku menahan diri. Maka, aku pun bertahan.
Kemudian, ditayangkan pula neraka kepadaku dalam keadaan ia berada di tengah-tengah antara diriku dengan kalian, sehingga aku dapat melihat bayang-bayangku dan bayang-bayang kalian. Maka, aku memberikan isyarat kepada kalian supaya bertahan.
Lalu, diwahyukan kepadaku (dengan firman-Nya) bahawa, ‘Aku (Allah) telah mengakui (keimanan) mereka (para sahabat), kerana sesungguhnya engkau (Rasulullah s.a.w.) telah memeluk Islam lalu mereka pun memeluk Islam, engkau telah berhijrah lalu mereka pun berhijrah, dan engkau telah berjihad lalu mereka pun berjihad.’
Maka, tidaklah aku melihat yang aku mempunyai sebarang kelebihan atas kalian melainkan dengan kedudukanku sebagai seorang Nabi.”
Di dalam hadis sahih di atas, Nabi s.a.w. sendiri mengakui yang baginda mempunyai bayang-bayang melalui sabdanya:
حَتَّى رَأَيْتُ ظِلِّيَ
Maksudnya:
“..sehingga aku dapat melihat bayang-bayangku..”
Maka, tidaklah benar dakwaan bahawa Nabi s.a.w. tidak mempunyai bayang-bayang yang besar kemungkinan berpunca daripada keyakinan mereka kononnya baginda dicipta daripada cahaya, sedangkan Allah Ta’ala telah berfirman:
قُلْ إِنَّمَا أَنَابَشَرٌ مِّثْلُكُمْ
Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad), “Sesungguhnya, tidaklah aku ini melainkan seorang manusia yang sama seperti kalian.”
[Surah al-Kahf (18): 110]
Jadi, sebagaimana kita semua berasal daripada Nabi Adam a.s. yang dicipta daripada tanah, demikianlah juga halnya dengan Nabi s.a.w.
Begitu juga tidak sahih sebarang riwayat yang menyebut bahawa ada awan yang sentiasa menaungi Nabi s.a.w. sehingga mungkin boleh diandaikan yang baginda tidak mempunyai bayang-bayang disebabkan oleh naungan tersebut.
Tetapi, diandaikan hal itu benar-benar terjadi sekalipun, ia hanyalah mukjizat yang berlaku sekali-sekala kepada baginda. Malangnya, andaian ini tidak disokong oleh sebarang hadis bertaraf sahih mahupun hasan.
Wallahu a’lam.
p.s: Maulana Muhammad Asri bin Yusoff (MMAY) berhujahkan hadis sahih riwayat al-Imam al-Bukhari sebagai bukti bahawa Nabi s.a.w. mempunyai bayang-bayang. Namun, hadis tersebut kurang jelas pendalilannya. Maka, kami menggantikannya dengan hadis sahih riwayat al-Imam Ibn Khuzaimah ini kerana teks lebih jelas menunjukkan bahawa Nabi s.a.w. sendiri mengakui yang baginda mempunyai bayang-bayang.