SOALAN: Pada hari ini, ramai penceramah dan ustaz-ustaz yang menyelitkan lawak jenaka dalam ceramah mereka. Ada yang sampai menyanyi lagu Hindustan hatta di dalam masjid. Saya sendiri mengalaminya kerana kerap juga mendengar ceramah-ceramah asatizah seperti itu.
Namun masalahnya selepas mendengar ceramah tersebut, saya hanya mengingati lawak jenaka yang diceritakan; langsung tidak ingat kepada isu-isu ilmiah yang disampaikan. Ada juga juga ustaz yang mengajar kitab kononnya selama dua jam, tetapi hanya 15 minit membaca kitab, selebihnya dia hanya menceritakan kisah-kisah yang melucukan. Kitab hanya setebal 30 muka surat, tetapi setelah bertahun-tahun lamanya belajar, kitab tersebut masih belum dapat dihabiskan.
Hal ini sangat berbeza dengan kuliah hadis ustaz; hendak ketawa pun susah, tetapi banyak ilmu yang diperolehi sehingga kadang-kala sakit kepala untuk memahaminya.
Apakah pandangan Islam tentang fenomena ceramah agama dipenuhi lawak jenaka seperti ini? Saya minta dihalalkan segala ilmu yang saya peroleh daripada ustaz. Terima kasih.
JAWAPAN:
Manusia mempunyai tahap pemikiran yang berbeza. Jadi, barangkali ceramah agama seperti ini sesuai untuk sebahagian manusia yang baru timbul minat untuk mempelajari agama. Tetapi, pada masa yang sama, mereka tidak seharusnya berasa selesa untuk berada di tahap itu. Setelah melalui satu tempoh pembelajaran, mereka sepatutnya beralih kepada pengajian agama yang lebih serius dan mendalam supaya ilmu mereka bertambah.
Jadi, ceramah yang berisi lawak jenaka ada kebaikannya untuk menarik perhatian golongan yang mungkin sebelum ini tidak mempunyai minat sama sekali untuk mempelajari agama. Tetapi, batasannya harus dijaga agar tidak melampaui batas. Misalnya, nyanyian lagu-lagu Hindustan di dalam masjid, jika benar ia dilakukan sebagaimana yang disebutkan di dalam soalan di atas, ia tidak boleh dilakukan kerana masjid tidak didirikan bagi tujuan tersebut.
Wallahu a’lam.