SOALAN: Adakah perbuatan sengaja bersedekah dalam jumlah yang sedikit pada setiap hari itu termasuk dalam amalan yang dicintai oleh Allah?
JAWAPAN:
Ya, ia termasuk dalam sabda Nabi s.a.w.:
أَحَبُّ الأَعْمَالِ إِلَىاللَّهِ تَعَالَى أَدْوَمُهَا وَإِنْ قَلَّ
Maksudnya: “Amalan-amalan yang paling dicintai oleh Allah Ta’ala ialah apa yang dilakukan secara berterusan meskipun jumlahnya sedikit.”
Bahkan semua ibadah yang dilakukan secara berterusan itu lebih baik walaupun jumlahnya sedikit, berbanding beribadah dalam jumlah yang banyak tetapi tidak konsisten.
Maka, apabila kita telah mula melakukan sesuatu ibadah, berusahalah untuk melakukannya secara konsisten. Caranya adalah dengan memilih amalan yang paling afdhol. Misalnya, solat sunat yang paling afdhol adalah Solat Witir dan Solat Sunat Subuh. Maka, kita mulakan dengan menjaga dua solat sunat ini terlebih dahulu berbanding solat-solat sunat yang lain.
Demikian jugalah dengan amalan kebajikan seperti bersedekah. Kita mulakan dengan bersedekah dalam jumlah yang sedikit, tetapi berterusan, kerana setiap sedekah ini akan ditulis oleh para malaikat pada hari-hari yang berbeza.
Namun, jika kita mampu menyumbang dalam jumlah yang besar, janganlah kita sengaja mengehadkan pemberian kita pada jumlah yang sedikit, melainkan jika bimbang yang kita tidak mampu untuk bersedekah pada kemudian hari.
Wallahu a'lam.