SOALAN: Bagaimanakah caranya untuk berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia?
JAWAPAN:
Cara yang terbaik untuk berbakti kepada ibu bapa yang telah meninggal dunia adalah dengan menjadi orang yang baik, kerana apabila kita melakukan amal soleh, ibu bapa dan nenek moyang kita akan mendapat saham pahala mereka masing-masing, meskipun jika kita tidak berniat untuk menghadiahkan pahala amalan tersebut kepada mereka.
Hal ini sebagaimana firman Allah s.w.t.:
وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ
Maksudnya:
“Setiap seorang manusia itu tidak akan mendapat balasan melainkan bagi apa yang telah diusahakannya sahaja.”
[Surah an-Najm (53) : 39]
Sedang anak termasuk dalam perkara yang diusahakan oleh kedua ibu bapanya, sebagaimana sabda Nabi s.a.w.:
إِنَّ أَطْيَبَ مَا أَكَلَ الرَّجُلُ مِنْ كَسْبِهِ وَوَلَدُهُ مِنْ كَسْبِهِ
Maksudnya:
“Sesungguhnya, sebaik-baik makanan bagi seorang lelaki adalah dari apa yang diusahakannya sendiri dan anaknya termasuk dalam apa yang diusahakannya.”
[Sunan an-Nasa’i (4451) : Disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih an-Nasa’i (4463)]
Kerana itulah Nabi s.a.w. mendorong kita supaya menjadi anak yang soleh melalui sabdanya:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ إِلاَّ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya:
“Apabila matinya seseorang manusia, terputuslah daripadanya (pahala) amalannya, melainkan daripada tiga (sumber) iaitu daripada sedekahnya yang masih berterusan manfaatnya bagi manusia, atau dari ilmunya yang masih dimanfaatkan oleh manusia, atau dari anaknya yang soleh yang masih mendoakan kebaikan untuknya.”
Wallahu a’lam.