SOALAN: Adakah boleh berzikir secara berlagu?
JAWAPAN:
Amalan berzikir secara berlagu bukan sahaja tidak pernah diajarkan oleh Nabi s.a.w., malah di dalam al-Quran sendiri, Allah memerintahkan supaya berzikir dengan memperlahankan suara:
وَاذْكُر رَّبَّكَ فِي نَفْسِكَ تَضَرُّعًا وَخِيفَةً وَدُونَ الْجَهْرِ مِنَ الْقَوْلِ بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ وَلَا تَكُن مِّنَ الْغَافِلِينَ
Maksudnya:
“Berzikirlah dengan menyebut dan mengingati Tuhanmu di dalam hatimu dengan perasaan takut dan tanpa menguatkan suara, terutamanya pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dalam kalangan orang-orang yang lalai.”
Surah al-A’raf (7) : 205
Maka, janganlah melakukannya, lebih-lebih lagi apabila ia diiringi dengan permainan alat muzik, kerana ia termasuk dalam perkara bid’ah yang tidak ada asalnya daripada petunjuk sunnah Nabi Muhammad s.a.w.
Sebaliknya, berzikirlah dengan lafaz dan kaifiat yang diajarkan oleh Nabi Muhammad s.a.w., kerana sunnah baginda itulah yang terbaik, sebagaimana sabdanya:
فَإِنَّ خَيْرَ الْحَدِيثِ كِتَابُ اللَّهِ وَخَيْرُ الْهُدَى هُدَى مُحَمَّدٍ وَشَرُّ الأُمُورِ مُحْدَثَاتُهَا وَكُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ
Maksudnya:
“Sesungguhnya, sebaik-baik perkataan adalah Kitab Allah (al-Quran) dan sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk (sunnah) Muhammad. Sementara seburuk-buruk perkara adalah yang direka padanya (ajaran Nabi s.a.w. dalam urusan agama) dan setiap bid’ah adalah kesesatan.”
Adapun berqasidah dan bernasyid, ia termasuk dalam perbahasan yang lain, kerana qasidah dan nasyid bukanlah zikir, tetapi lagu semata-mata.
Wallahu a’lam.