SOALAN: Adakah al-Quran dan hadis menganjurkan bercinta sesama manusia sebelum berumahtangga?
JAWAPAN:
Tidak ada. Sebaliknya, ia berlaku secara tabi’i sama seperti seseorang yang makan apabila berasa lapar. Maka, jatuh cinta itu bukan satu dosa, kerana perasaan itu sendiri diciptakan oleh Allah s.w.t. supaya manusia mempunyai kecenderungan untuk mendirikan rumahtangga.
Tetapi, yang perlu ditekankan adalah pada penjagaan batas hubungan dan pergaulan antara lelaki dan wanita, sebagaimana yang Allah isyaratkan melalui firman-Nya:
وَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ فِيمَا عَرَّضْتُم بِهِ مِنْ خِطْبَةِ النِّسَاءِ أَوْ أَكْنَنتُمْ فِي أَنفُسِكُمْ ۚ عَلِمَ اللَّهُ أَنَّكُمْ سَتَذْكُرُونَهُنَّ وَلَٰكِن لَّا تُوَاعِدُوهُنَّ سِرًّا إِلَّا أَن تَقُولُوا قَوْلًا مَّعْرُوفًا
Maksudnya:
“Dan tidak ada salahnya bagi kamu tentang apa yang kamu sebutkan (secara sindiran) untuk meminang perempuan (yang kematian suami dan masih dalam ‘iddah), atau tentang kamu menyimpan dalam hati (keinginan berkahwin dengan mereka). Allah mengetahui bahawa kamu akan menyebut-nyebut atau mengingati mereka, (yang demikian itu tidaklah salah), akan tetapi janganlah kamu membuat janji dengan mereka di dalam sulit (untuk melakukan kemaksiatan), selain daripada menyebutkan kata-kata yang baik dan sopan.”
[Surah al-Baqarah (2) : 235]
Melalui ayat di atas, Allah mengharamkan kita daripada merencana perbuatan yang tidak baik secara rahsia. Pada masa yang sama, Allah mengharuskan ucapan kata-kata yang baik antara lelaki dan wanita dengan maksud untuk menjayakan perancangan untuk berkahwin.
Sebaliknya, jika hanya mahu bermain-main dan tidak pernah mempunyai niat untuk mendirikan rumahtangga, maka hukumnya adalah haram.
Wallahu a’lam.