SOALAN: Adakah beramal lebih utama daripada menuntut ilmu?
JAWAPAN:
Menuntut ilmu mempunyai kelebihannya yang tersendiri, meskipun jika seseorang itu belum mengamalkannya, sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi s.a.w.:
وَمَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَلْتَمِسُ فِيهِ عِلْمًا سَهَّلَ اللَّهُ لَهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ وَمَا اجْتَمَعَ قَوْمٌ فِي بَيْتٍ مِنْ بُيُوتِ اللَّهِ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَيَتَدَارَسُونَهُ بَيْنَهُمْ إِلاَّ نَزَلَتْ عَلَيْهِمُ السَّكِينَةُ وَغَشِيَتْهُمُ الرَّحْمَةُ وَحَفَّتْهُمُ الْمَلاَئِكَةُ وَذَكَرَهُمُ اللَّهُ فِيمَنْ عِنْدَهُ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melalui satu jalan untuk mencari ilmu, nescaya dengan sebab perbuatannya itu, Allah akan memudahkan untuknya jalan menuju syurga. Dan tidaklah suatu kaum itu berkumpul daripada salah sebuah rumah Allah yang dibacakan di dalamnya Kitab Allah (al-Quran) dan mereka pun saling mempelajari isi kandungannya sesama mereka, melainkan pasti diturunkan atas mereka ketenangan, rahmat pun pasti menyelubungi mereka, para malaikat akan mengelilingi mereka dan Allah akan menyebut (nama-nama) mereka di sisi para malaikat yang berada di sisi-Nya.”
Di dalam riwayat lain, Nabi s.a.w. bersabda:
مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ فِيهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا مِنْ طُرُقِ الْجَنَّةِ وَإِنَّ الْمَلاَئِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتَهَا رِضًا لِطَالِبِ الْعِلْمِ وَإِنَّ الْعَالِمَ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي الأَرْضِ وَالْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ وَإِنَّ فَضْلَ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ وَإِنَّ الْعُلَمَاءَ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ وَإِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلاَ دِرْهَمًا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَهُ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ
Maksudnya: “Barangsiapa yang melalui satu jalan untuk menuntut ilmu, nescaya Allah akan memimpinnya untuk melalui satu jalan dari jalan-jalan (menuju ke) syurga. Sesungguhnya, para malaikat pasti meletakkan sayap-sayap mereka sebagai tanda redha kepada penuntut ilmu. Sesungguhnya, orang yang berilmu pasti akan diminta keampunan untuknya oleh makluk-makhluk yang berada di sekalian langit dan ikan-ikan yang berada di laut dalam. Sesungguhnya, kelebihan orang yang berilmu berbanding ahli ibadah (yang tidak berilmu) adalah seperti bulan purnama berbanding sekalian bintang. Sesungguhnya, ‘ulamak adalah para pewaris Nabi-Nabi dan sesungguhnya, Nabi-Nabi itu tidak mewarisi dinar mahupun dirham (sebaliknya) mereka mewarisi ilmu. Maka, barangsiapa yang mengambilnya, dia telah beroleh keuntungan yang melimpah ruah.”
Lalu, apabila dia mula mengamalkan ilmunya, kualiti amalannya itu pasti berbeza dengan orang yang beramal tanpa ilmu, sebagaimana isyarat yang diberikan oleh Allah Ta’ala melalui firman-Nya:
أَمَّنْ هُوَ قَانِتٌ آنَاءَ اللَّيْلِ سَاجِدًا وَقَائِمًا يَحْذَرُ الْآخِرَةَ وَيَرْجُو رَحْمَةَ رَبِّهِ ۗ قُلْ هَلْ يَسْتَوِي الَّذِينَ يَعْلَمُونَ وَالَّذِينَ لَا يَعْلَمُونَ ۗ إِنَّمَا يَتَذَكَّرُ أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: (Engkaukah yang lebih baik) atau orang yang taat mengerjakan ibadat pada waktu malam dengan sujud dan berdiri sambil takutkan (azab) hari akhirat serta mengharapkan rahmat Tuhannya? Katakanlah lagi (kepadanya), "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya, orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna.
[Surah az-Zumar (39): 9]
Maka, tidak seharusnya kita memandang rendah pada kepentingan menuntut ilmu.
Tetapi, tidaklah bererti yang semua orang perlu menguasai semua cabang ilmu, kerana setiap daripada kita mempunyai kemampuan pemikiran yang berbeza. Maka, setiap daripada kita seharusnya berusaha untuk mendalami ilmu mengikut kadar kemampuan dan keperluan masing-masing.
Wallahu a’lam.