SOALAN: Boleh ulas berkenaan kitab al-Hikam dengan penulisnya sekali kerana ada yang mengatakan kitab ini tidak bagus untuk dibaca.
JAWAPAN:
Sebenarnya, jika kita seorang yang bijak, kita pasti boleh menggarap faedah dari sebarang buku yang kita baca, hatta buku-buka agama lain seperti Tripitaka, Veda dan Bible.
Syaratnya, kita mestilah mempunyai asas pemahaman yang kukuh terhadap al-Quran dan as-Sunnah.
Demikianlah juga halnya dengan buku-buku tulisan musuh Islam seperti buku-buku Syi’ah. Bacaan kita terhadap karya musuh-musuh Islam ini boleh dijadikan senjata untuk kita mengetahui kelemahan mereka.
Hanyasanya kitab al-Hikam ini dan beberapa syarahannya mempunyai masalah tertentu terutamanya yang berkaitan dengan hadis. Misalnya, ada dinukilkan di dalam kitab tersebut sebuah hadis yang berbunyi:
أنا عرب بلا عين وأنا أحمد بلا ميم
Maksudnya:
“Aku adalah ‘arab tanpa huruf ‘ain (ertinya Rabb yang bermaksud Tuhan) dan aku adalah Ahmad tanpa huruf mim (ertinya Ahad yang bermaksud Yang Maha Esa).”
Lalu, penulis kitab al-Hikam termasuklah sebahagian penulis syarah bagi kitab ini mensahihkan hadis ini, walhal hadis ini tidak mempunyai asal dan kepalsuannya jelas lagi nyata kerana mengangkat Nabi s.a.w. ke martabat Tuhan.
Inilah masalah yang kerap ditemui di dalam kitab-kitab tasawuf iaitu banyak hadis yang disebutkan di dalam kitab-kitab tersebut tidak boleh dipakai.
Meskipun demikian, ramai ‘ulamak Deobandi yang mengarang syarahan bagi kitab al-Hikam melalui fahaman yang benar. Tujuannya adalah untuk membawa umat Islam yang mempelajari kitab al-Hikam supaya fahamannya kembali selari dengan petunjuk sunnah Nabi s.a.w.
Sesungguhnya, ia adalah usaha yang sangat baik kerana ia boleh menjadi satu sarana dakwah tanpa sedar.
Selain itu, kitab al-Hikam juga mengandungi banyak kisah yang meragukan sehingga seolah-olah penulisnya mahu mengangkat kedudukan para awliya’ lebih tinggi daripada maqam para anbiya’.
Maka, inilah antara perkara yang perlu diingatkan apabila membaca buku-buku seperti ini; yang baik itu ada, tetapi pada masa yang sama, terselit padanya banyak kekarutan di celah-celahnya, sehingga ia mungkin boleh memperdayakan orang-orang yang tidak mempunyai asas pengetahuan agama yang cukup.
Kesimpulannya, buku-buku tasawuf seperti kitab al-Hikam boleh dibaca oleh mereka yang mempunyai asas pengetahuan agama yang cukup. Tetapi, bagi yang tidak berilmu, hendaklah berhati-hati.
Sesungguhnya, kita telah dicukupkan dengan al-Quran dan as-Sunnah sebagaimana sabda baginda s.a.w.:
تَرَكْتُ فِيكُمْ أَمْرَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا مَا تَمَسَّكْتُمْ بِهِمَا كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّةَ نَبِيِّهِ
Maksudnya:
“Telah aku tinggalkan kepada kalian dua perkara. Kalian tidak akan tersesat selagi mana kalian berpegang teguh dengan kedua-duanya (iaitu) Kitab Allah (al-Quran) dan sunnah Nabi-Nya.”
Inilah saja yang terjamin kebenarannya.
Wallahu a’lam.