SOALAN: Benarkah Karramallahu Wajhah itu istilah yang Syi’ah gunakan terhadap Saidina ‘Ali
JAWAPAN:
Ada sesetengah pihak yang mengaitkan istilah atau doa “Karramallahu Wajhah” dengan Syi’ah, tetapi dakwaan ini sebenarnya kurang tepat, kerana hakikatnya, Ahlus Sunnah turut menggunakannya, terutamanya pada zaman di mana Kaum Khawarij selalu mendoakan keburukan kepada Saidina ‘Ali r.a. dengan berkata:
قبح الله وجهه
Maksudnya:
“Semoga Allah memburukkan mukanya.”
atau
سود الله وجهه
Maksudnya:
“Semoga Allah menghitamkan mukanya.”
Maka, dalam menhadapi perbuatan Kaum Khawarij ini, para ‘ulama Ahlus Sunnah pada zaman tersebut pun membalas ucapan mereka dengan berkata:
كرم الله وجهه
Maksudnya:
“Semoga Allah memuliakan wajahnya.”
Tetapi, ucapan atau doa ini bersifat sementara sahaja, iaitu apabila ada sesiapa yang mengina Saidina ‘Ali. Apabila perbuatan tercela itu tidak lagi dilakukan, maka sebaiknya kita kembali kepada ucapan:
رضي الله عنه
Maksudnya:
“Semoga Allah meredhainya.”
Hal ini kerana Saidina Ali juga sama seperti para sahabat lain yang diredhai oleh Allah s.w.t. sebagaimana telah sabit melalui firman-Nya:
وَٱلسَّـٰبِقُونَ ٱلۡأَوَّلُونَ مِنَ ٱلۡمُهَـٰجِرِینَ وَٱلۡأَنصَارِ وَٱلَّذِینَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحۡسَـٰنࣲ رَّضِیَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُوا۟ عَنۡهُ وَأَعَدَّ لَهُمۡ جَنَّـٰتࣲ تَجۡرِی تَحۡتَهَا ٱلۡأَنۡهَـٰرُ خَـٰلِدِینَ فِیهَاۤ أَبَدࣰاۚ ذَ ٰلِكَ ٱلۡفَوۡزُٱلۡعَظِیمُ
Maksudnya:
“Orang-orang terdahulu yang paling awal (memeluk Islam) dalam kalangan Muhajirin dan Ansar serta orang-orang yang mengikut mereka dengan baik, Allah telah meredhai mereka dan mereka juga telah redha dengan-Nya (sebagai Tuhan mereka yang ditaati dengan penuh keimanan). Dan telah dipersiapkan untuk mereka syurg-syurga yang mengalir di bawahnya anak-anak sungai. Mereka akan kekal di dalamnya selama-lamanya. Yang demikian itulah kejayaan yang agung!”
Surah at-Tawbah (9):100
Berbeza dengan Ahlus Sunnah, Kaum Syi’ah lebih cenderung untuk berdoa kepada Saidina ‘Ali dengan menyebut:
عليه السلام
Maksudnya:
“Kesejahteraan atasnya.”
Meskipun doa tersebut tidak salah dari segi makna, tetapi ia tidak mempunyai sebarang sandaran daripada al-Quran dan as-Sunnah.
Di sisi Ahlus Sunnah, doa di atas disebutkan secara khusus setelah menyebut nama para Anbiya’ sahaja, sebagaimana Allah telah berfirman di dalam al-Quran:
قُلِ ٱلۡحَمۡدُ لِلَّهِ وَسَلَـٰمٌ عَلَىٰ عِبَادِهِ ٱلَّذِینَ ٱصۡطَفَىٰۤ
Maksudnya:
Katakanlah (wahai Muhammad), “Segala puji bagi Allah dan kesejahteraan atas hamba-hamba-Nya (iaitu para Anbiya’) yang terpilih.”
Surah an-Naml (27) :59
Wallahu a’lam.