SOALAN: Ibu saya buta huruf dan baru mempelajari al-Quran pada usia emasnya (60-an) melalui bantuan al-Quran digital. Ada saudara saya yang menegur bahawa perbuatan ibu saya itu salah dan berdosa kerana tidak belajar (secara berdepan) dengan ustaz. Apakah pandangan maulana?
JAWAPAN:
Sebenarnya, belajar melalui buku, cakera padat (CD) dan seumpamanya, kadang-kala lebih baik jika yang mengajar itu benar-benar seorang yang pakar dalam bidangnya, dan tidak semestinya ilmu yang dipelajari secara berdepan itu lebih baik jika pengajarnya bukanlah seorang yang menguasai ilmu yang diajarkannya.
Maka, belajar secara berdepan itu hanya lebih baik jika kita mempelajarinya daripada pakar.
Hal ini samalah seperti program Tilawah al-Quran Interaktif yang dilakukan di kaca televisyen kerana pengajarnya adalah seorang yang pakar serta mampu mendengar dan menegur bacaan kita.
Tetapi, tetap tidak dapat dinafikan bahawa sebaik-baik cara untuk mempelajari sesuatu ilmu adalah dengan mengambilnya daripada pakar secara berdepan atau apa yang disebut sebagai “musyafahah.”
Namun, jika hal itu sukar untuk dilakukan kerana ketiadaan pakar atau malu, maka adalah lebih baik
jika pengajian menggunakan peralatan moden ini dijadikan sebagai langkah pertama.
Adapun dakwaan bahawa:
من ليس له شيخ شيخه الشيطان
Maksudnya:
“Barangsiapa yang tidak mempunyai guru, maka syaitanlah yang menjadi gurunya,”
ia bukanlah sebuah hadis, tetapi sekadar pendapat manusia biasa.
Bahkan jika yang mengajar kita secara berdepan itu adalah seorang yang jahil, tetaplah juga dia menjadi syaitan yang boleh menyesatkan kita.
Wallahu a’lam.