SOALAN: Bagaimanakah caranya untuk kita mendapat pertolongan Allah sebagaimana yang diberikan kepada para sahabat di dalam ayat ke-154 daripada Surah Aali ‘Imran?
JAWAPAN:
Di dalam ayat tersebut, Allah berfirman:
ثُمَّ أَنزَلَ عَلَيْكُم مِّن بَعْدِ الْغَمِّ أَمَنَةً نُّعَاسًا يَغْشَىٰ طَائِفَةً مِّنكُمْۖ
Maksudnya:
Kemudian sesudah (kamu mengalami kejadian) yang mendukacitakan itu, Allah menurunkan kepada kamu perasaan aman tenteram, iaitu rasa mengantuk yang meliputi segolongan dari kamu (yang teguh imannya lagi ikhlas).
Ayat di atas mengisahkan tentang bantuan yang Allah berikan kepada tentera Islam yang baru sahaja tewas dalam Perang Uhud. Bantuan yang Allah berikan kepada mereka adalah berupa perasaan aman tenteram sehingga mereka mampu tertidur lena meskipun mereka baru sahaja ditimpa dengan kekalahan yang mendukacitakan.
Tetapi, ketenteraman jiwa ini hanya dianugerahkan-Nya kepada orang-orang mukmin yang berjihad dengan ikhlas; tidak kepada orang-orang munafiq yang bermuka-muka.
Maka, di sini dapatlah kita mengambil pengajaran bahawa untuk mendapatkan pertolongan Allah, kita hendaklah berjuang dengan ikhlas, mempunyai keimanan yang teguh, keyakinan yang kuat dan tidak melakukan kesalahan sama ada maksiat, mahupun kesalahan-kesalahan lain seperti pada disiplin, adab, cara menggunakan alat dan sebagainya.
Kalau kita ada melakukan kesalahan-kesalahan, boleh jadi kita akan ditimpa dengan ujian-ujian lain.
Bentuk pertolongan Allah pula pelbagai, seperti rasa mengantuk sebagaimana yang diceritakan di dalam ayat ini. Tetapi tidaklah menjadi syarat bahawa bantuan Allah sentiasa datang dalam bentuk itu semata-mata.
Pokoknya apabila mendapat pertolongan Allah, kita akan berasa tenang dan mudah untuk melakukan sesuatu perkara tanpa rasa gentar, takut mahupun risau, seolah-olah Allah membuatkan kita lupa terhadap cabaran dan ujian yang sedang dan mungkin menimpa kita pada masa depan.
Demikianlah yang dihadapi oleh para ulama seperti Maulana Abul Kazam ‘Azad, bekas Menteri Pendidikan India yang juga aktivis kemerdekaan India. Beliau terpaksa menulis tafsir al-Qurannya sebanyak empat kali, kerana kerap ditangkap dan dimasukkan ke dalam penjara oleh penjajah British.
Apabila pulang ke rumah, beliau dapati yang tafsirnya telah berselerak. Maka, beliau pun menulisnya kembali, sehingga sampai tahap, ada juga buku-bukunya yang terpaksa dikarang dari dalam penjara.
Meskipun persekitarannya tidak selesa, tetapi beliau tetap berjaya meninggalkan khazanah ilmu yang banyak dan berharga, kerana dibantu oleh Allah dengan anugerah ketenteraman jiwa.
Wallahu a’lam.