SOALAN: Apakah status hadis berkaitan Solat Tasbih? Adakah hadis tersebut boleh diamalkan? Jika boleh, adakah Solat Tasbih boleh dikerjakan secara berjemaah? Bagaimana pula dengan perbuatan menetapkan Solat Tasbih pada setiap malam raya?
JAWAPAN:
Al-Imam Abu Daud dan al-Imam Ibn Majah telah meriwayatkan sebuah hadis dengan sanad mereka:
عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ لِلْعَبَّاسِ بْنِ عَبْدِ الْمُطَّلِبِ: يَا عَبَّاسُ يَاعَمَّاهُ أَلاَ أُعْطِيكَ أَلاَ أَمْنَحُكَ أَلاَ أَحْبُوكَ أَلاَ أَفْعَلُ بِكَ
عَشْرَ خِصَالٍ إِذَا أَنْتَ فَعَلْتَ ذَلِكَ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ ذَنْبَكَ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ قَدِيمَهُ وَحَدِيثَهُ خَطَأَهُ وَعَمْدَهُ صَغِيرَهُ وَكَبِيرَهُ سِرَّهُ وَعَلاَنِيَتَهُ عَشْرَ خِصَالٍ أَنْ تُصَلِّيَ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ تَقْرَأُ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ فَاتِحَةَ الْكِتَابِ وَسُورَةً فَإِذَا فَرَغْتَ مِنَ الْقِرَاءَةِ فِي أَوَّلِ رَكْعَةٍ وَأَنْتَ قَائِمٌ قُلْتَ سُبْحَانَ اللَّهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللَّهُ وَاللَّهُ أَكْبَرُ خَمْسَ عَشْرَةَ مَرَّةً ثُمَّ تَرْكَعُ فَتَقُولُهَا وَأَنْتَ رَاكِعٌ عَشْرًا ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنَ الرُّكُوعِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا ثُمَّ تَهْوِي سَاجِدًا فَتَقُولُهَا وَأَنْتَ سَاجِدٌ عَشْرًا ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ مِنَ السُّجُودِ فَتَقُولُهَا عَشْرًا ثُمَّ تَسْجُدُ فَتَقُولُهَا عَشْرًا ثُمَّ تَرْفَعُ رَأْسَكَ فَتَقُولُهَا عَشْرًا فَذَلِكَ خَمْسٌ وَسَبْعُونَ فِي كُلِّ رَكْعَةٍ تَفْعَلُ ذَلِكَ فِي أَرْبَعِ رَكَعَاتٍ إِنِ اسْتَطَعْتَ أَنْ تُصَلِّيَهَا فِي كُلِّ يَوْمٍ مَرَّةً فَافْعَلْ فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ جُمُعَةٍ مَرَّةً فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ شَهْرٍ مَرَّةً فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي كُلِّ سَنَةٍ مَرَّةً فَإِنْ لَمْ تَفْعَلْ فَفِي عُمُرِكَ مَرَّةً
Maksudnya:
Daripada Ibn ‘Abbas, bahawasanya Rasulullah s.a.w. telah bersabda kepada al-‘Abbas bin ‘Abdul Muttholib, “Wahai ‘Abbas, wahai bapa saudaraku, sukakah engkau jika aku kurniakan dan menganugerahkan kepadamu 10 amalan yang mana jika engkau melakukannya, nescaya Allah akan mengampunkan dosamu yang terawal dan terakhir, yang terdahulu dan yang terkini, yang dilakukan secara tidak sengaja dan sengaja, yang kecil dan yang besar, yang dilakukan secara tersembunyi dan secara terang-terangan?
10 amalan itu ialah engkau bersolat empat rakaat. Di dalam setiap rakaat, engkau baca Surah al-Fatihah dan sebarang surah. Apabila telah selesai membaca surah pada rakaat pertama sedang engkau masih berdiri, engkau sebutlah, ‘Maha Suci Allah, segala puji bagi Allah, tiada sembahan selain Allah dan Allah Maha Besar’ sebanyak 15 kali.
Kemudian, engkau rukuk dan engkau ucapkanlah zikir itu ketika engkau sedang rukuk sebanyak 10 kali. Kemudian, engkau angkat kepalamu daripada rukuk dan engkau ucapkanlah zikir itu sebanyak 10 kali.
Kemudian, engkau turunlah bersujud dan engkau ucapkanlah zikir itu ketika engkau sedang sujud sebanyak 10 kali. Kemudian, engkau bangkitlah daripada sujud dan engkau ucapkanlah zikir itu sebanyak 10 kali.
Kemudian, engkau bersujud lagi dan engkau ucapkanlah zikir itu sebanyak 10 kali. Kemudian, engkau angkatlah kepalamu (daripada sujud) dan engkau ucapkanlah zikir itu sebanyak 10 kali.
Maka, semua zikir itu berjumlah 75 kali dalam satu rakaat. Engkau lakukanlah seperti itu dalam keempat-empat rakaat.
Jika engkau mampu melakukan solat itu sekali pada setiap hari, engkau lakukanlah. Jika tidak mampu, engkau lakukanlah ia sekali pada setiap Jumaat (setiap minggu). Jika tidak mampu, engkau lakukanlah ia sekali pada setiap bulan. Jika tidak mampu, engkau lakukanlah ia sekali pada setiap tahun. Dan jika tidak mampu, engkau lakukanlah ia sekali dalam seumur hidupmu.”
Para ulama berbeza pendapat dalam menentukanstatus hadis ini. Sebahagian ulama menghukumnya sebagai dha’if (termasuklah maudhu’), antaranya Ibn al-Jauzi, Sirajuddin al-Qazwini, Ibn Taimiyyah dan Imam Ahmad bin Hanbal.
Tetapi ada juga yang menilainya sebagai maqbul (sahih atau hasan) seperti ad-Daruquthni, al-Khatib al-Baghdadi, Abu Musa al-Madani, Abu Bakr bin Abu Daud, al-Hakim, as-Suyuthi, al-Hafiz Ibn Hajar, dan al-Albani.
Sesungguhnya, khilaf ulama terhadap status hadis ini lebih banyak daripada khilaf mereka dalam menghukum hadis-hadis berkaitan Solat Dhuha.
Namun begitu, secara umumnya jumhur ulama beramal dengan hadis ini, kerana ia datang melalui banyak sanad yang saling kuat menguatkan antara satu lain, sehingga sebahagian ulama berpendapat yang statusnya boleh menjadi hasan.
Kalau pun statusnya kekal dha’if sebagaimana yang menjadi pegangan para ulama Mazhab Hanbali, mereka berpendapat bahawa ia boleh diamalkan atas alasan ia termasuk dalam bab fadha’il al-a’mal.
Apabila boleh dikerjakan, maka ia boleh dilaksanakan secara bersendirian mahupun secara berjemaah. Tetapi solat sunat secara bersendirian itu lebih baik sebagaimana yang dapat difahami daripada sabda Nabi s.a.w.:
فَصَلُّوا أَيُّهَا النَّاسُ فِي بُيُوتِكُمْ فَإِنَّ أَفْضَلَ صَلاَةِ الْمَرْءِ فِي بَيْتِهِ إِلاَّ الصَّلاَةَ الْمَكْتُوبَةَ
Maksudnya:
“Maka, bersolatlah wahai sekalian manusia di dalam rumah-rumah kalian, kerana sesungguhnya sebaik-baik solatnya seseorang itu adalah yang didirikannya di dalam rumahnya, melainkan solat fardhu.”
Hadis di atas menunjukkan anjuran untuk kita menunaikan solat fardhu di masjid dan sudah tentu ia merujuk kepada solat secara berjemaah yang mana kelebihannya banyak disebutkan di dalam hadis-hadis yang lain.
Maka, ia menjadi isyarat yang jelas bahawa solat-solat sunat sebaik-baiknya didirikan secara bersendirian. Kerana itulah Nabi s.a.w. menggalakkan kita supaya memperbanyakkan solat-solat sunat di dalam rumah. Jika solat sunat afdhal dikerjakan secara berjemaah, sudah tentu Nabi s.a.w. memerintahkan kita untuk melakukannya di dalam masjid.
Meskipun terdapat keluasan pada cara untuk menunaikan Solat Tasbih sama ada secara bersendirian mahupun secara berjemaah, ia boleh menjadi bidaah (بِدْعَة) apabila kita membuat ketetapan bahawa solat ini mesti dikerjakan pada hari tertentu seperti malam raya sebagaimana yang menjadi amalan sebahagian masyarakat di negara kita pada hari ini, sehingga ada yang menyangka bahawa Solat Tasbih sunat dikerjakan pada waktu tersebut.
Maka, sebaik-baiknya kita mengelak daripada membuatketetapan seperti itu.
Wallahu a’lam.