SOALAN: Saya ingin meminta pandangan maulana terhadap fenomena yang berlaku dalam kalangan pelajar kita yang belajar di Hadramaut, Yaman kerana telah menjadi tradisi dalam kalangan habaib Sufi di sana untuk bertabarruk secara berlebih-lebihan dengan kubur-kubur para wali mereka, termasuklah dengan para habaib yang telah meninggal dunia.
Kemuncaknya adalah apabila mereka melakukan ziarah yang seakan-akan sebuah ijtimak (pertemuan) besar di sebuah kubur yang mereka dakwa sebagai kubur Nabi Hud a.s. Mereka telah membina sebuah kubah besar di atas kubur tersebut sehingga ia kelihatan seperti masjid.
Ringkasnya, semakin hebat kewalian seseorang tokoh itu pada pandangan mereka, semakin besarlah binaan dibangunkan di atas kuburnya.
Perkara ini kemudiannya mengakibatkan konflik antara pelajar yang belajar dengan Sana’a dengan mereka yang belajar di Hadramaut, Yaman.
JAWAPAN:
Sekurang-kurangnya apa yang mereka lakukan itu adalah bid’ah yang boleh membawa kepada syirik. Jadi, ia tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi apabila mereka mula beristighasah (berdoa meminta tolong) kepada si mati, meskipun dengan i’tiqad (keyakinan) bahawa si mati itu mampu untuk berdoa kepada Allah bagi pihak mereka.
Rentetan itu, adalah pula yang mendakwa kononnya wali yang telah mati lebih mampu untuk menolong manusia setelah mereka meninggal dunia kerana mereka tidak lagi terikat dengan urusan dunia seperti perlu makan, minum dan sebagainya.
Sampai suatu masa nanti, akan ada yang meminta terus kepada si mati dengan keyakinan si mati itu mampu menolongnya.
Sesungguhnya, semua ini berpunca daripada ajaran tawassul dan istighasah yang diajar secara berleluasa kepada masyarakat. Walhal, semua ini bukanlah ajaran Nabi s.a.w.
Sepatutnya, manusia yang masih hiduplah yang mendoakan kebaikan untuk si mati; bukannya meminta si mati berdoa kepada Allah untuk orang yang masih hidup.
Adapun membuat binaan di atas kubur, itu bid’ah yang lain pula, sehingga satu bid’ah bertindih di atas bid’ah-bid’ah yang lain.
Wallahua’lam.