SOALAN: Apakah hukuman yang dikenakan kepada orang-orang yang murtad pada zaman Nabi
s.a.w.?
JAWAPAN:
Banyak kitab yang menyebut bahawa hukuman bagi murtad adalah bunuh, berdasarkan sabda Nabi s.a.w.:
مَنْ بَدَّلَ دِينَهُ فَاقْتُلُوهُ
Maksudnya:
“Barangsiapa yang menukar agamanya, maka bunuhlah dia!”
Hanyasanya hadis ini terlalu umum sehingga secara zahirnya ia bukan sahaja boleh merangkumi kes penukaran agama daripada Islam kepada kafir, tetapi juga daripada kafir kepada Islam.
Demikian jugalah ia juga boleh terpakai kepada orang-orang bukan Islam yang menukar agama kepada agama kufur yang lain seperti daripada Yahudi kepada Kristian, daripada Kristian kepada Yahudi, dan sebagainya. Mustahil semua kes penukaran agama ini perlu dihukum bunuh.
Maka, untuk memahami realiti pelaksanaan hukuman bunuh kepada orang yang murtad pada zaman Nabi s.a.w., kita perlu merujuk kepada sirah nabawiyyah. Dan apabila kita melihat kepada sirah Rasulullah s.a.w., kita akan dapati bahawa tidak terdapat satu pun bukti yang menunjukkan bahawa seseorang itu dihukum bunuh hanya kerana dia keluar daripada Agama Islam semata-mata.
Yang ada hanyalah hukuman bunuh kepada orang-orang yang meninggal Islam atas sebab-sebab yang lain. Misalnya kes yang melibatkan golongan ‘Uraniyyun dan ‘Ukl, kita akan dapati yang mereka semua dihukum bunuh bukan semata-mata kerana murtad, tetapi kerana mereka juga telah membunuh umat Islam yang lain.
Demikianlah juga halnya dengan kes yang melibatkan Ibn Khathol yang bergantung di kelambu Kaabah pada Hari Fathu Makkah, dia juga dihukum bunuh kerana membunuh umat Islam lain; bukan semata-mata kerana dia murtad.
Maka, peristiwa-peristiwa yang berlaku pada zaman Nabi s.a.w. ini menunjukkan bahawa mereka yang murtad pada zaman baginda dihukum bunuh atas alasan qisas; bukannya kerana murtad.
Inilah yang lebih jelas dan tidak dipertikaikan oleh sesiapa pun, meskipun para ulama berkhilaf tentang kewajipan menghukum bunuh kepada sesiapa yang keluar daripada Agama Islam.
Dunia pada hari ini memandang serong terhadap Islam sehingga musuh-musuh Islam mencari-cari kelemahan kita hatta pada perkara yang sebenarnya baik untuk umat manusia.
Maka, sebaiknya, apabila melibatkan urusan nyawa, kita mengambil pendapat yang lebih cermat, sebagaimana kaedah yang telah diberikan oleh Rasulullah s.a.w. kepada kita iaitu:
ادرَؤُواالحُدودَ بالشُّبُهاتِ
Maksudnya:
“Elakkanlah hukum hudud apabila adanya syubhat (keraguan).”
MUSNAD ABI HANIFAH (312) : Asy-Syaukani berkata di dalam Nayl al-Awthor (2/272) bahawa hadis ini baik (solih) untuk dijadikan hujah.
Selain itu, telah diriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda:
فَإِنَّ الإِمَامَ أَنْ يُخْطِئَ فِي الْعَفْوِ خَيْرٌ مِنْ أَنْ يُخْطِئَ فِي الْعُقُوبَةِ
Maksudnya:
“Sesungguhnya, jika seorang pemimpin itu tersilap dalam mengampunkan (pesalah) itu lebih daripada tersilap dalam menghukum (orang yang tidak bersalah).”
Meskipun hadis ini dha'if, tetapi maknanya benar kerana setelah hukuman hudud seperti potong tangan dijatuhkan kepada orang kena tuduh (OKT), maka kudunglah tangannya sampai bila-bila.
Jadi, bayangkanlah betapa besarnya kesan tersilap menjatuhkan hukuman hudud, lebih-lebih lagi apabila melibatkan nyawa, pada zaman yang mana Islam diselubungi fitnah dari dalam dan luar.
Oleh yang demikian, memilih pandangan yang lebih berhati-hati dalam masalah ini lebih baik.
Wallahu a’lam.