SOALAN: Antara mencukur dan menggunting sebahagian rambut, mana satukah yang lebih baik dilakukan ketika bertahallul?
JAWAPAN:
Para ‘ulamak tidak berbeza pendapat bahawa ketika bertahallul, bercukur itu lebih baik bagi lelaki berbanding memendekkan atau menggunting sebahagian rambut kerana Nabi s.a.w. mendoakan rahmat dan keampunan buat orang-orang yang mencukur rambutnya sebanyak dua atau tiga kali. Tetapi baginda hanya mendoakan rahmat dan keampunan sekali buat orang yang menggunting sebahagian rambutnya.
Hal ini sebagaimana yang dijelaskan di dalam hadis berikut:
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عُمَرَ ـ رضى الله عنهما أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ. قَالُوا وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ اللَّهُمَّ ارْحَمِ الْمُحَلِّقِينَ. قَالُوا وَالْمُقَصِّرِينَ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَالَ وَالْمُقَصِّرِينَ. وَقَالَ اللَّيْثُ حَدَّثَنِي نَافِعٌ رَحِمَ اللَّهُ الْمُحَلِّقِينَ مَرَّةً أَوْ مَرَّتَيْنِ. قَالَ وَقَالَ عُبَيْدُ اللَّهِ حَدَّثَنِي نَافِعٌ وَقَالَ فِي الرَّابِعَةِ وَالْمُقَصِّرِينَ
Maksudnya:
Daripada ‘Abdullah bin ‘Umar r.a.huma., bahawasanya Rasulullah s.a.w. berdoa, “Ya Allah ya Tuhan kami, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambut mereka.” Sebahagian sahabat berkata, “Doakanlah juga untuk orang-orang yang memendekkan rambut mereka wahai Rasulullah.” Baginda tetap berdoa, “Ya Allah ya Tuhan kami, rahmatilah orang-orang yang mencukur rambut mereka.” Para sahabat masih meminta, “Doakanlah juga untuk orang-orang yang memendekkan rambut mereka wahai Rasulullah.” Baginda pun bersabda, “Juga untuk orang-orang yang memendekkan rambut mereka.”
Al-Laits berkata, “Nafi’ telah menceritakan kepadaku bahawa baginda mendoakan rahmat buat orang-orang yang mencukur rambut mereka sebanyak sekali atau dua kali.”
‘Ubaidullah pula berkata, “Nafi’ telah menceritakan kepadaku bahawa baginda hanya mendoakan rahmat buat orang-orang yang memendekkan rambut mereka pada kali keempat (iaitu selepas tiga kali baginda mendoakan rahmat buat orang-orang yang mencukur rambut mereka).”
Di dalam riwayat lain, dikatakan bahawa Nabi s.a.w. berdoa sebanyak dua atau tiga kali dengan memohon keampunan buat orang-orang yang mencukur rambut mereka. Kemudian, pada kali ketiga atau keempat, barulah baginda mendoakan keampunan buat orang-orang yang memendekkan rambut mereka.
Demikian juga di dalam al-Quran, Allah menyebutkan perihal orang-orang bertahallul dengan mencukur rambut mereka terlebih dahulu, sebelum menyebut tentang orang-orang yang memendekkan rambut mereka, sebagaimana firman-Nya:
لَّقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا
Maksudnya:
“Demi sesungguhnya, Allah tetap menyatakan benar Rasul-Nya dalam perkara mimpi itu dengan kenyataan yang sebenar iaitu sesungguhnya kamu tetap akan memasuki Masjid Al-Haraam - insya Allah (pada masa yang ditentukan-Nya) - dalam keadaan aman (dapat menyempurnakan ibadat umrah kamu) dengan mencukur kepala kamu, dan kalau (tidak pun) menggunting sedikit rambutnya, serta kamu tidak berasa takut (akan pengkhianatan musuh sehingga kamu keluar balik dari situ). (Allah mengangguhkan berlakunya kenyataan itu) kerana Ia mengetahui (adanya feadah dalam penangguhan
itu) yang kamu tidak mengetahuinya. Maka, Dia menyediakan sebelum (terlaksananya mimpi) itu, satu kemenangan yang dekat (masa berlakunnya).”
[Surah al-Fath (48) : 27]
Ayat ini juga boleh menjadi isyarat betapa mencukur rambut lebih utama daripada memendekkannya.
Tetapi, perbuatan mencukur rambut ini hanya disunnahkan dalam situasi tertentu sahaja seperti ketika bertahallul dan kelahiran anak. Adapun dalam keadaan biasa, mencukur rambut bukanlah termasuk dalam sunnah Nabi s.a.w., melainkan jika adanya keperluan seperti untuk menjalani rawatan tertentu.
Wallahu a’lam.