SOALAN: Adakah Maulana Asri pernah bermimpi bertemu dengan Nabi s.a.w.?
JAWAPAN:
Saya pernah bermimpi bertemu dengan Nabi s.a.w., tetapi tidak di dalam rupanya yang asal. Mimpi
ini saya alami lama dahulu ketika mengajar Jami’ at-Tirmizi.
Di dalam mimpi tersebut, Nabi s.a.w. diisytiharkan berada di dalam zoo. Maka, saya pun pergi ke zoo tersebut dan melihat ada jenazah seorang lelaki yang memakai kain sarung.
Kemudian, saya melihat mayat itu dari kaki hingga kepalanya, dan saya simpulkan bahawa itu bukanlah jasad Nabi s.a.w. Sebaliknya, ia lebih sesuai dengan ciri-ciri Firaun yang Allah sebutkan di dalam al-Quran melalui firman-Nya:
فَالْيَوْمَ نُنَجِّيكَ بِبَدَنِكَ لِتَكُونَ لِمَنْ خَلْفَكَ آيَةً
Maksudnya:
“Maka pada hari ini, Kami biarkan engkau (wahai Firaun) terlepas dengan badanmu (yang tidak bernyawa, daripada ditelan laut), untuk menjadi tanda bagi orang-orang yang di belakangmu (supaya mereka mengambil itibar).”
Selepas itu, saya beredar daripada zoo itu. Malangnya, orang ramai berbondong-bondong masuk ke dalam zoo itu, kononnya untuk melihat jenazah Nabi s.a.w. Maka, saya pun mengingatkan mereka semua bahawa itu bukanlah jenazah Nabi s.a.w., sebaliknya ia adalah mayat Firaun, dan saya sebutkan ayat al-Quran di atas kepada mereka.
Malangnya,ramai yang tidak mengendahkan kata-kata saya dan tetap masuk melihat mayat Firaun itu. Tetapi, ramai juga yang bersama-sama dengan saya dan jumlah mereka semakin lama semakin bertambah.
Apakah takwilnya? Allah sahajalah yang lebih mengetahui.
Tetapi,mudah-mudahan mimpi tersebut menjadi isyarat bahawa semakin lama, akan bertambah bilangan asatizah yang mengajar hadis kepada masayarakat dan menjadi isyarat bahawa kita banyak mendedahkan kebatilan yang disandarkan kepada Nabi s.a.w.
Mudah-mudahan itulah maksudnya.
Wallahu a’lam.
TAMBAHAN PENULIS
Mimpi ini dialami oleh Maulana Asri puluhan tahun lalu dan alhamdulillah, kita telah melihat kebenaran takwilannya kini, kerana semakin ramai yang bukan sahaja peka terhadap keaslian hadis-hadis Nabi s.a.w., malah semakin ramai juga asatizah yang menguasai ilmu hadis dengan cemerlang seperti Dr. MAZA, Dr. Rozaimi Ramle, Dr. Kamilin Jamilin, Dr. Maulana Nasaie Hanaffie dan ramai lagi.
Semoga Allah terus menyuburkan pengajian ilmu hadis di negara kita. Allahumma amin.