SOALAN: Adakah kita perlu mengetahui dalil jika mahu mengikut pendapat mazhab lain?
JAWAPAN:
Tidak disyaratkan begitu. Bahkan sebenarnya, semua mazhab mengikut dalil al-Quran dan as-Sunnah. Hanyasanya mereka berbeza dalam memahaminya kerana dalil-dalil tersebut tidak qath’i dalalah iaitu tidak mempunyai maksud yang jelas. Sebaliknya, jika sesuatu dalil itu qath’i dalalahnya, nescaya para ulama bersepakat dalam memahaminya.
Yang menjadi masalah pada hari ini adalah apabila ada golongan yang mengambil pendirian yang keras dengan mendakwa bahawa melazimi sesuatu mazhab itu wajib. Walhal ramai ulama yang tidak berpegang dengan mazhab tertentu, termasuklah al-Imam al-Bukhori (pengarang Sahih al-Bukhori), al-Imam as-Syaukani (pengarang Nail al-Awthor), as-Syaikh ‘Abdur Rahman al-Mubarakfuri (pengarang kitab Tuhfatu Ahwazi bisyarhi Jami’ at-Tirmizi) dan as-Syaikh Muhammad Syamsul Haq al-‘Azim Abadi (pengarang kitab ‘Aunul Ma’bud ‘ala Sunan Abi Daud).
Kesemua ulama ini diiktiraf keilmuwan mereka dan kitab-kitab karangan mereka dijadikan rujukan oleh orang-orang yang mempelajari ilmu agama. Siapa yang berani mendakwa para ulama ini sesat?
Realitinya, mereka tidak berpegang dengan mazhab tertentu kerana mereka berilmu dan melihat bahawa kebenaran itu tidak berada di dalam mazhab tertentu sahaja. Maka, dalam sesuatu masalah, mereka mungkin mengikut pandangan Mazhab Maliki. Tetapi, dalam masalah yang lain, mereka mengikut pandangan mazhab lain pula.
Dan hal ini tidak dikhususkan kepada ulama sahaja, kerana tidak ada dalil yang mengkhususkan hal tersebut. Maka, sesiapa sahaja yang belajar dan mengetahui pendapat mazhab lain, dia berhak untuk mengikut pandangan mazhab tertentu jika dia meyakini bahawa pandangan itu benar.
Pada masa yang sama, kita juga hendaklah menghormati orang-orang yang mahu berpegang dengan mazhab tertentu sahaja, jika itulah yang dirasakan mudah padanya, kerana bukan semua orang berpeluang untuk belajar dan mendengar pandangan mazhab-mazhab lain.
Jika kita berfikiran terbuka seperti ini, nescaya banyak masalah yang dapat diselesaikan dengan mudah dan kita tidak terperangkap di dalam perbalahan yang tidak berfaedah.
Wallahua’lam.